Dipotong tiga mata: TRW perlu kekal fokus

BIBI.
BIBI.
A
A
A

KOTA BHARU – Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Bibi Ramjani Ilias Khan mahu semua pemain terus kekal fokus walaupun pasukan itu dikenakan hukuman pemotongan tiga mata selepas ingkar arahan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Pemotongan tersebut dikatakan melibatkan isu kegagalan Kafa mengikut arahan dan tempoh masa ditetapkan Jawatankuasa Tatatertib FIFA bagi menjelaskan tuntutan rasmi daripada bekas Pengarah Teknikal Kafa, Alfredo Carlos Gonzales berjumlah RM225,940.

Bibi melalui satu kenyataan berkata, pihak Kafa akan bertanggungjawab sepenuhnya berkaitan beberapa masalah yang dihadapi pasukan itu, walaupun berdepan kemelut melibatkan penamatan kontrak dengan Kelantan Red Warriors Sdn Bhd (KRW) baru-baru ini.

“Pihak Kafa sedaya-upaya untuk menyelesaikan semua tuntutan pemain dan para pegawai yang terlibat secara berperingkat mengikut kemampuan pemilikan kewangan yang terhad oleh persatuan ini.

“Setelah pengambilalihan oleh syarikat KRW Sdn Bhd pada awal tahun ini, pihak mereka telah bersetuju untuk membayar segala hutang yang ditanggung oleh Kafa termasuklah membayar tuntutan gaji Alfredo Carlos Gonzales seperti mana yang diarahkan oleh FIFA.

“Namun kemelut gaji tertunggak kembali melanda pasukan ini untuk bulan Februari dan Mac dan tuntutan gaji oleh Alfredo Carlos Gonzales yang sepatutnya dibayar oleh pihak KRW Sdn Bhd juga turut tertunggak.

“Tempoh tersebut itu juga melebihi tarikh akhir menyebabkan FIFA terpaksa mengambil tindakan tegas memotong tiga mata hasil kemenangan Kelantan bertemu UTM tempoh hari di Stadium Cheras,” katanya.

Menurutnya, walaupun pasukan TRW dilihat menjadi ‘mangsa’ dalam kemelut kali ini, namun beliau tetap mahu semua pemain kekal optimis mencipta kemenangan untuk perlawanan terdekat.

Artikel Berkaitan:

Bibi juga menjelaskan yang Kafa tetap menerimanya dengan terbuka dan berharap kemenangan demi kemenangan dicipta bagi membangkitkan kembali semangat pasukan kesayangan rakyat Kelantan itu.

“Mengenai tunggakan gaji bulan Februari dan Mac yang ditinggalkan oleh KRW Sdn Bhd, pihak Kafa akan bertanggungjawab sepenuhnya menyelesaikannya secara berperingkat dan tidak akan bersikap lepas tangan,”katanya.