Status penaiktarafan MDKL peringkat akhir

Amirudin menyampaikan sumbangan kepada masjid, surau dan madrasah di Masjid At-Taqwa, hari ini.
A
A

KUALA LANGAT - Status Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) kepada Majlis Perbandaran Kuala Langat kini berada pada peringkat akhir iaitu penarafan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, pihaknya menjangkakan tiada masalah bagi proses berkenaan berikutan beberapa kriteria diperlukan berjaya dipenuhi.

"Kerajaan negeri sememangnya menyambut baik langkah ini sekali gus memberi sokongan penuh kepada penaiktarafan status daerah kepada perbandaran bagi MDKL ini.

"Insya-ALLAH, kita yakin tidak ada masalah untuk penaiktarafan ini kelak," katanya pada majlis sumbangan kepada masjid, surau dan madrasah di Masjid At-Taqwa di sini, hari ini.

Menurutnya, Kuala Langat sememangnya kawasan yang terkenal dengan pelancongannya yang tersendiri kerana mempunyai lokasi menarik dan strategik.

"Kuala Langat mempunyai kawasan menarik dari segi pelancongan dan dalam masa sama pembangunan baru sedang berlangsung sekali gus menjadikan Kuala Langat sebagai kawasan strategik.

"Saya melihat secara khusus pembangunan di jajaran Kota Kemuning sehingga Sijangkang yang menjadi kawasan tumpuan pembangunan pesat dan mencatatkan hasil sangat baik untuk masyarakat di daerah ini," katanya.

Pada 28 Februari lalu, Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) diumumkan bakal dinaik taraf kepada status perbandaran pada tahun ini.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) sedang membuat kertas kerja sebelum dihantar ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk kelulusan.

“Kita juga sedang berusaha mendapatkan kelulusan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri supaya proses naik taraf status dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia