Wanita cedera ditumbuk jiran

Abdul Rahim Md Din
Abdul Rahim Md Din
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Gara-gara terlepas cakap, seorang wanita ditumbuk jirannya sehingga cedera di rahang pipi, dalam kejadian di Seberang Takir, Kuala Nerus, pada Rabu lalu.

Kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu dipercayai berlaku selepas mangsa berusia 34 tahun bergaduh dengan jirannya kerana tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki tersebut yang dikatakan memarahi bapanya.

Menurut sumber, suspek berusia 60-an dikatakan pernah mengajak bapa mangsa bertumbuk sebelum ini tanpa diketahui punca, namun tidak diendahkan.

"Mangsa yang tidak berpuas hati dengan tindakan suspek terhadap bapanya memaklumkan kepada isteri suspek dengan mengeluarkan kata-kata 'tua-tua pun mahu gaduh lagi'.

"Mungkin disebabkan kata-kata itu, suspek yang mendengarnya terus turun dari rumah menuju ke arah mangsa sebelum bertindak menumbuk rahang pipi sebelah kiri sebanyak satu kali," katanya.

Sumber berkata, akibat tindakan itu, mangsa kebas di bahagian lidah, sakit di rahang pipi sebelah kiri dan sakit di belakang kepala.

"Bukan sahaja mangsa, malah anak kecil yang didukungnya terjatuh bersama dan kepala terhantuk pada tiang tangga rumah.

"Meskipun melihat kedua-dua beranak itu menahan kesakitan, suspek tanpa rasa belas simpati terus melarikan diri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut sumber lagi, difahamkan sebelum ini keluarga mangsa pernah bergaduh mulut dengan suspek disebabkan salah faham.

Bimbang akan keselamatan diri dan keluarga pada masa akan datang, mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis pada hari sama kejadian untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian yang dibuat di Balai Polis Gong Badak, Kuala Nerus.

Jelasnya, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.