Musim sakura landa Sabak Bernam

Tusimon (kanan) dan Zamri (kiri) menunjukkan bunga tacoma yang mengeluarkan bunga di Taman Air Manis.
A
A

SABAK BERNAM - Suasana indah dengan hamparan bunga sakura berguguran berwarna merah jambu dan putih mula 'melanda' beberapa kawasan sekitar daerah Sabak Bernam.

Keindahan sakura atau bunga tekoma itu kembang mekar sejak beberapa hari lalu antaranya di Taman Air Manis, Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) dan Pekan Sungai Besar.

Seorang penduduk Taman Air Manis, Tusimon Alip, 49, berkata, persekitaran taman perumahan itu berubah seakan-akan berada di Jepun.

"Pemandangan sekitar taman ini memang cantik dan mempesonakan, apatah lagi di laluan pintu masuk utama taman dah nampak meriah bunga ini berguguran bila ditiup angin," katanya.

Tusimon berkata, musim bunga itu menarik perhatian penduduk untuk merakam gambar kenang-kenangan bersama ahli keluarga atau rakan-rakan.

"Malah, saudara-mara saya yang datang singgah ke sini teruja dapat tengok keadaan ini," katanya.

Zamri Basran, 31, berkata, pokok tekoma pada tahun ini mengeluarkan bunga lebat secara serentak.

"Pokok ini memerlukan cuaca panas berterusan sebelum dapat keluarkan bunga dengan banyak selepas hujan," katanya.

Pokok sakura di laluan pintu masuk ke Taman Air Manis, di sini.
Pokok sakura di laluan pintu masuk ke Taman Air Manis, di sini.

Setiausaha Jawatankuasa Penduduk Taman Air Manis, Zulkifli Ijoh berkata, terdapat kita-kira 50 pokok tekoma ditanam sejak projek perumahan itu siap diduduki.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak pasti sama ada pokok itu ditanam pemaju perumahan atau Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB).

"Cuaca panas berterusan akan bantu galakkan bunga pohon tekoma ini untuk terus mekar.

"Pokok ini mula mengeluarkan bunga sejak akhir Mac lalu dan semakin mekar sejak empat hari kebelakangan ini akibat cuaca panas," katanya.

Sementara itu, Pengarah PSIS, Ishanuddin Hussin berkata, terdapat lebih 50 pokok tekoma ditanam di dalam kampus politeknik itu sejak 15 tahun lalu.

Pokok sakura di sepanjang jalan kampus PSIS.
Pokok sakura di sepanjang jalan kampus PSIS.

Katanya, pokok teduhan dan hiasan itu mengeluarkan bunga luar biasa pada musim ini akibat faktor cuaca panas berpanjangan.

"Kebanyakan penuntut mencari masa terluang untuk merakam gambar mereka untuk dijadikan kenangan," katanya.

Malah, katanya, pihaknya turut menganjurkan Pertandingan Fotografi Sakura PSIS terbuka kepada penuntut politeknik itu.

"Terdapat empat kategori dipertandingkan iaitu swafoto, swafoto bersama, berkumpulan dan pemandangan.

"Syarat menyertai pertandingan ini mudah sahaja iaitu peserta perlu 'like' Instagram Politeknik Sultan Idris Shah.

"Gambar yang dimuat naik ke Instagram perlu menggunakan ‘hashtag' #sakurapsis2019# dan #politekniksultanidrisshah#," katanya.

#sabakbernam Musim sakura landa Sabak Bernam MOHD IZZATUL IZUAN TAHIR SABAK BERNAM - Suasana indah dengan hamparan guguran bunga sakura berwarna merah jambu dan putih mula 'melanda' beberapa kawasan sekitar daerah Sabak Bernam. Artikel berkaitan: https://www.sinarharian.com.my/article/23152/EDISI/Selangor-KL/Musim-sakura-landa-Sabak-Bernam

Posted by Sinar Harian Edisi Selangor & KL on Friday, April 12, 2019