Pilihan raya PBT: Khalid, rujuk dulu kerajaan negeri

Borhan Aman Shah
A
A

SHAH ALAM - Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad digesa merujuk kepada kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan berkaitan pilihan raya kerajaan tempatan (PBT).

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah berkata, Khalid sebelum ini dilapor mahu menjadikan bandaraya Shah Alam sebagai kawasan uji kaji bagi pilihan raya kerajaan tempatan itu.

Menurutnya, Ahli Parlimen Shah Alam itu sepatutnya merujuk kepada kerajaan negeri kerana kawasan dinyatakan merupakan pusat pentadbiran Negeri Selangor.

“Kedudukan beliau (Khalid) sebagai Ahli Parlimen kawasan tersebut diakui, namun beliau perlu rujuk dulu kepada kerajaan negeri berhubung perkara itu kerana ia libatkan banyak pihak termasuklah penjawat awam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pilihan raya kerajaan tempatan: Konsensus PH diperlukan]

[ARTIKEL BERKAITAN: Kajian Pilihan Raya KPKT diteruskan]

[ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda Umno sokong Tun Mahathir]

Dalam pada itu beliau berkata, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengambil maklum saranan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan.

Menurutnya, Amirudin juga menyambut baik usaha Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang mahu mengadakan suatu kajian komprehensif berkaitan pelaksanaan perkara itu.

“Saya harap semua pihak lebih bertanggungjawab sebelum keluarkan sebarang kenyataan libatkan kesejahteraan rakyat Selangor. Kerajaan negeri komited untuk tingkatkan sosio-ekonomi rakyat di samping mengekalkan kesentosaan negeri ini,” katanya.

Terdahulu, Khalid dilapor berkata, pilihan raya majlis kerajaan tempatan boleh diuji bermula di Shah Alam walau ada kegusaran mengenai keseimbangan kaum.

Memetik laporan berita portal, beliau berkata proses memilih ahli majlis tempatan termasuk datuk bandarnya tidak wajar dibuat sewenang-wenangnya.

Beliau berharap pilihan raya pihak berkuasa tempatan boleh diadakan di Shah Alam, kawasan di mana penduduknya sedikit selesa, tiada tempat yang didakwanya boleh memainkan isu perkauman.

Bagaimanapun, sebelum ini Mahathir mengatakan kerajaan tidak merancang untuk mengadakan pilihan raya PBT berikutan kebimbangan kemungkinan perselisihan komuniti antara kawasan luar bandar dan bandar.