Kes denggi di Pulau Pinang catat penurunan

A
A

GEORGETOWN- Kes denggi di negeri ini dicatatkan menurun dengan 52 kes bagi minggu ke 14 tahun ini iaitu dari tempoh 31 Mac hingga 6 April lalu.

Jabatan Kesihatan Pulau Pinang dalam kenyataannya berkata, bilangan kes itu menurun berbanding 75 kes pada minggu sebelumnya (24 hingga 30 Mac) iaitu 52 kes.

Menurut kenyataan tersebut, laporan itu mencatatkan penurunan sebanyak 23 kes dengan persamaan 31 peratus.

"Secara kumulatif sehingga 6 April lalu, 2,173 kes denggi dilaporkan berbanding 1,066 kes bagi tempoh yang sama pada tahun lalu. Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 1,107 kes dengan 103.85 peratus.

"Terdapat lapan kematian demam denggi dilaporkan sehingga minggu ke 14 tahun ini berbanding hanya satu kematian bagi tempoh yang sama pada 2018. Ia menunjukkan peningkatan tujuh kes kematian (700 peratus)," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, wabak terkawal di 19 lokaliti antaranya Flat Taman Gambir; Lorong Pekaka; Flat Padang Tembak; Kristal Height, Sri Saujana Apartment dan Halaman Kristal bagi daerah Timur Laut.

"Bagi daerah Barat Daya pula antaranya Desa Bayan dan Kampung Seronok sementara Seberang Perai Utara (SPU) adalah Lorong Mesjid 2. Di Seberang Perai Tengah (SPT), terdapat satu lokaliti 'hot spot' iaitu Taman Pauh Indah.

"Jabatan Kesihatan Pulau Pinang mengingatkan masyarakat untuk terus mengambil beberapa langkah bagi menghentikan penularan wabak denggi antaranya memberi kerjasama dengan membenarkan anggota kesihatan menjalankan semburan asap di dalam rumah dan menjalankan gotong-royong di kawasan perumahan bagi menghapuskan tempat berpotensi pembiakan aedes," katanya.

Masyarakat juga dinasihatkan mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital apabila mengalami demam dan tanda-tanda penyakit denggi seperti sakit badan, sakit sendi, muntah, ruam dan kurang selera makan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia