Lelaki warga Bangladesh didakwa miliki baju tiruan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang warga Bangladesh didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini, atas tuduhan memiliki 21,934 helai baju berjenama tiruan antaranya Gucci, Puma dan Nike, bernilai RM575,100, awal bulan lalu.

Pekerja kedai pakaian, Mohammad Jony Bhuiyan, 24, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan di hadapan Hakim Manira Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan, Mohammad Jony didakwa memiliki bekalan barang iaitu 4,625 helai baju jenama Puma; 2850 jenama Levis; 7040 helai jenama Adidas; 809 helai jenama Gucci; 2780 helai jenama Nike, 2670 jenama Tommy Hilfiger dan dan 1160 helai jenama Reebok dengan dagangan palsu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Premis RJ One Creative International Sdb. Bhd., No. 16-1, Lorong Meranti, melalui Jalan Kenanga di sini, jam 6.30 petang, pada 8 April lalu.

Sementara itu, pada prosiding sama, sebuah syarikat dan pengarahnya mengaku tidak bersalah masing-masing atas tuduhan memiliki baju, seluar dan topi tiruan berjenama.

Syarikat Mister Topmen Fashion Sdn Bhd, selaku Orang Kena Saman (OKS) dan pengarahnya Woo Ching Shun, 36, didakwa memiliki baju jenama Adidas, Tommy Hilfiger, Nike dan Puma sebanyak 2,688 unit, seluar jenama Tommy Hilfiger, Nike dan Gucci sebanyak 374 unit dan topi jenama Nike, Adidas, Tommy Hilfiger, Gucci, Puma dan Burberry sebanyak 2,424 unit yang keseluruhannya berjumlah 5,486 dengan RM137,150.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Mister Topmen Fashion Sdn Bhd, Nombor 16, Lorong Meranti melalui Jalan Kenanga, di sini pada jam dan tarikh sama.

Dakwaan terhadap mereka dibuat Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8(2)(B) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM10,000 bagi setiap barang dagangan palsu.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan bagi kedua-dua kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Mustaza Nabila Muslimin manakala Mohammad Jony diwakili peguam S S Ruban.

Hakim membenarkan Mohammad Jony diikat jamin RM30,000 dengan dua penjamin, manakala Ching Shun dibenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan supaya pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Kes ditetapkan untuk sebutan pada 15 Mei ini.