Nasib Firdaus kini terbela, terima kasih rakyat Malaysia!

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Hanya perasaan gembira dan senyuman lebar terpapar pada wajah Mohd Firdaus Abdullah, 12, sebaik melangkah masuk ke pusat jagaan Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-anak Yatim Darussalam di Kampung Melayu, Sungai Rapat, pagi tadi.

Dia yang terpaksa tinggal bersendirian sejak dua minggu lalu bakal memulakan rutin kehidupan baru di pusat jagaan itu bersama 45 anak-anak yatim piatu dan fakir miskin yang lain.

Ketika ditemui, Mohd Firdaus menyatakan rasa syukur dan terima kasih atas keprihatinan semua pihak hingga membolehkannya mendapat tempat perlindungan.

"Kalau saya tidak dipertemukan dengan Tok Anjang, mungkin saya masih duduk di rumah sewa dan saya pun tak berpeluang masuk ke sini.

"Terima kasih pada JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) banyak bantu memudahkan proses ini dan terima kasih juga pada rakyat Malaysia yang mendoakan saya, terharu bila ramai yang ambil peduli dengan kisah hidup saya," katanya.

Dia gembira apabila dapat kembali menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.

"Kat sini ada kawan untuk bersembang, boleh main dengan mereka dan paling penting ada orang boleh jaga saya," katanya.

Mohd Firdaus turut berazam untuk mengubah nasib diri menjadi insan yang lebih baik dan berguna kepada keluarga dan orang ramai.

Artikel Berkaitan:

"Duduk di sini dapatlah saya ke sekolah, saya nak sambung balik belajar, dapat masuk universiti dan cari kerja yang bagus," katanya yang bercita-cita mahu menjadi polis.

Mohd Firdaus (tengah) gembira bertemu rakan barunya, Mohd Hakim Abdullah, 13, (kiri) dan Ammar Fayyadh Samsul Aizam, 13.
Mohd Firdaus (tengah) gembira bertemu rakan barunya, Mohd Hakim Abdullah, 13, (kiri) dan Ammar Fayyadh Samsul Aizam, 13.

Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-anak Yatim Darussalam merupakan sebuah pusat jagaan swasta beroperasi sejak 2007. Sehingga kini, terdapat 45 anak yatim piatu dan fakir miskin berusia antara empat hingga 17 tahun ditempatkan di situ yang turut dilengkapi kemudahan empat blok asrama untuk lelaki dan perempuan, surau, dewan dan kantin.

Setiap kemasukan ke pusat jagaan itu adalah percuma, perbelanjaan sekolah, pakaian dan makanan semuanya dibiayai hasil sumbangan orang ramai dan bantuan kewangan berbentuk geran tahunan daripada JKM.

Pengasas pertubuhan berkenaan, Rohaniah Razali berkata, sebaik berita mengenai kisah kanak-kanak itu tular, JKM Perak menghubungi pihaknya untuk mendapatkan persetujuan menempatkan Mohd Firdaus di situ.

"Pada asalnya, pertubuhan ini hanya khusus untuk anak yatim piatu dan fakir miskin yang sudah tidak mempunyai waris untuk menjaga, ini berbeza dengan keadaan Mohd Firdaus yang masih punya ibu bapa dan saudara mara.

"Bagaimanapun atas dasar prihatin, kita membenarkannya tinggal bersama di sini, lagipun kita dimaklumkan dia tiada tempat tinggal dan tiada waris yang sanggup menjaganya," katanya.

Beliau berkata, seperti penghuni lain, Mohd Firdaus juga akan mengikuti jadual harian dan peraturan asrama seperti perlu ke sekolah, hadir ke kelas agama dan mengaji pada waktu petang.

"Untuk peringkat awal ini, kita akan pantau keadaannya, paling penting kita nak beri penekanan ilmu agama, jika asas agamanya kuat, ke mana pun dia pergi nanti dia boleh menjalani kehidupan dengan baik," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki menjalani kehidupan tidak ubah seperti gelandangan selepas tinggal seorang diri di rumah sewanya di Jalan Intan, Kampung Dato' Ahmad Said, Manjoi.

Dia yang sudah tidak lagi bersekolah sejak Oktober tahun lalu, tinggal sendirian selepas ibunya yang telah bercerai, ditahan dalam satu operasi pihak berkuasa awal bulan ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Budak 12 tahun tinggal sendirian dalam rumah usang