Merungkai misteri Tasik Hijau di Bukit Ibam

A
A
A

BAK kata pepatah ‘sambil menyelam minum air’, hasrat untuk menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan salah seorang ahli Team Busut di Taman Peramu Pekan, Pahang baru-baru ini dapat di manfaatkan sepenuhnya.

Sebaik selesai meraikan kedua mempelai, rombongan kami segera menuju ke Bukit Ibam yang terletak tidak jauh dari bandar Muadzam Shah.

Hasrat kami, untuk menikmati sendiri keindahan dan keunikan tasik hijau dan biru yang menjadi bualan di media sosial tidak lama dahulu.

**media[]**

Asal usul Bukit Ibam

Selain keindahan tasik tersebut, Bukit Ibam memiliki sejarah yang panjang.

Ini kerana selain kaya dengan sumber mineral, ia juga pernah menjadi lokasi perlombongan bijih besi yang terbesar di Asia suatu ketika dahulu.

Malah dapatan yang diperolehi mengatakan aktiviti perlombongan bijih besi di Bukit Ibam telah bermula sejak tahun 1957, oleh syarikat Rompin Mining Company (RompinCo).

RompinCo merupakan anak syarikat kepada Eastern Mining & Mineral Company milik penjajah British.

Tidak cukup dengan itu, sejarah kewujudan nama ‘Ibam’ itu sendiri merupakan suatu yang unik untuk dikongsikan.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan peta Malaya yang dikeluarkan dalam tahun 1951, nama Bukit Ibam ketika itu masih belum wujud.

Menurut catatan Superintenden Elektrik RompinCo, G. Scllow perkataan Ibam merupakan akronim yang diambil daripada tajuk sebuah buku ‘I BOUGHT A MOUNTAIN’ hasil tulisan Thomas Firbank pada tahun 1940.

Menurut Scllow buku tersebut telah dibaca oleh jurutera ukur RompinCo, Mr. Fittburg.

Ketika sedang menjalankan kerja-kerja ukur landasan keretapi untuk laluan Bukit Ibam ke Tanjung Tengku, Kuala Rompin.

Selepas berjaya melakukan kerja pengukuran landasan keretapi itu, Mr Fittburg telah bertanya kepada salah seorang pekerja mengenai nama bukit yang terdapat di hadapan lombong tersebut.

Apabila pekerja tersebut mengatakan tidak tahu, Mr Fittburg kemudiannya menamakan bukit tersebut sebagai Bukit Ibam bersempena dengan judul buku tersebut.

Selain itu, ada juga yang mengatakan nama Bukit Ibam merupakan singkatan daripada ‘Iron Boxside Aluminium Magnesium’.

f3
f3

Keindahan Tasik Biru

Secara ringkasnya disebabkan aktiviti perlombongan dan kuari ini, telah menyebabkan wujudnya banyak lubang-lubang besar hasil dari peletupan bukit bagi mengeluarkan sumber mineral yang ada.

Lubang-lubang tersebut kemudiannya menjadi kawasan takungan air yang akhirnya membentuk menjadi sebuah tasik.

Berdasarkan kajian, ekoran aktiviti perlombongan telah meningkatkan jumlah pepejal terlarut dan logam berat.

Tindak balas kimia batuan dan tanah kuari juga merupakan antara punca air tasik ini kelihatan sangat jernih.

Walaupun tiada sebarang hidupan akutik yang hidup di dalam tasik ini, namun keindahan warna airnya yang biru serta jernih, benar-benar membuatkan mata kami seakan kaku terpesona.

Ini kerana selain merupakan tasik kuari yang terbesar dan terdalam (anggaran 40 meter) yang pernah di rekodkan, warna airnya seakan hidup ketika matahari sedang terik.

Ini ekoran pantulan cahaya langit serta kehadiran pokok-pokok di sekelilingnya.

Di tambah pula dengan kehadiran Bukit Sembilan sebagai latar belakangnya seakan melengkapkan pemandangan indah di tasik ini.

**media[]**

Hidupan akuatik di Tasik Hijau

Sejarah kewujudan tasik hijau yang terletak bersebelahan tasik biru di Bukit Ibam tidak kurang hebatnya.

Selain bijih besi, wilayah Pahang Tenggara itu juga kaya dengan sumber bijih timah dan batu jed. Maka tidak hairanlah terdapat banyak tapak perlombongan dan kesan kuari hingga kini.

Menurut cerita orang kampung suatu ketika dahulu kawasan tersebut merupakan kawasan perlombongan batu jed.

Salah seorang penduduk orang asli yang mendiami kawasan tersebut dikatakan secara tidak sengaja berjumpa dengan seketul batu hijau yang cantik.

Dia kemudiannya menunjukkan batu tersebut kepada salah seorang pegawai British.

Rentetan dari itu, aktiviti perlombongan giat di jalankan bagi mengeluarkan lebih banyak batu jed.

Namun setelah kerja-kerja perlombongan di lakukan, di dapati batu-batu jed tersebut masih muda dan tidak mempunyai nilai di pasaran.

Kawasan perlombongan tersebut akhirnya di tinggalkan. Lama kelamaan hujan dan mata air kemudiannya membentuk lombong tersebut menjadi sebuah tasik.

Mungkin kerana pantulan batu-batu jed di dasar tasik tersebut, telah menyebabkan warna airnya menjadi hijau pekat.

Berbeza dengan Tasik Biru, terdapat banyak hidupan akuatik di Tasik Hijau antaranya ikan toman dan keli.

Di sebalik keindahan itu, Tasik Hijau turut menyimpan seribu misteri. Menurut cerita penduduk kampung tasik itu mempunyai ‘penjaga’ yang tersendiri.

Mereka yang bermulut celupur atau sering bercakap besar dikatakan bakal di timpa musibah.

Malah pernah berlaku insiden lemas di tasik berkenaan yang mengakibatkan korban. Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan namun mayat mangsa tidak ditemui.

Sehinggalah diadakan upacara dialog bagi ‘memujuk’ agar jasad mangsa dipulangkan ke pangkuan keluarga. Tidak lama selepas itu, jasad mangsa di temui terampung tidak jauh dari tempat kejadian.

Walaupun begitu ketika kehadiran kami tidak berlaku sebarang kejadian yang luar biasa.

Namun kami di berikan kesempatan untuk berjumpa dengan pokok bunga senduduk putih, antara spesis tumbuhan yang paling sukar ditemui.

Malah ada yang mendakwa spesis liar ini mempunyai kaitan yang sangat kuat dengan alam mistik.

Tumbuhan ini juga dikatakan mempunyai khasiat yang tinggi dalam bidang perubatan traditional.

Setiap bahagian dari tumbuhan ini di katakan mempunyai pelbagai khasiat dari sudut perubatan traditional.

Selain itu, penduduk tempatan mendakwa terdapat juga kolam merah dan kuning di Bukit Ibam.

Namun lokasinya tidak di ketahui kerana agak jauh ke dalam hutan.

**media[]**

Meredah Bukit Sembilan

Selepas puas bergambar dan menikmati keindahan di tasik biru dan hijau, kami meneruskan perjalanan ke Bukit Sembilan.

Bukit Sembilan terletak bersebelahan dengan Bukit Ibam.

Perjalanan menuju ke puncak Bukit Sembilan tidak memerlukan masa yang lama. Ini kerana terdapat laluan konkrit sehingga ke puncak.

Setibanya di puncak, kami di sajikan dengan pemandangan 360 darjah yang indah lagi mendamaikan.

Di tambah dengan keadaan cuaca yang sejuk, kami seakan terpana menikmati keindahan alam yang dikelilingi bukit bukau dan hutan yang menghijau.

Pemandangan waktu petang yang redup beserta cahaya ‘sunset’ yang keluar disebalik awan menyebabkan kami leka menghayati Kebesaran Ilahi.

Di puncak ini juga kami dapat melihat Tasik Biru dan Tasik Hijau dengan jelas.

Namun begitu kami sedikit hampa apabila melihat ‘ketupat besi’ (struktur binaan besi yang di kenali sebagai stesen trigonometri) telah di musnahkan.

Hanya kesan tapak dan sisa besi yang berjaya di temui berhampiran menara pencawang telekomunikasi.

Apa yang pasti, ia tidak akan mematahkan semangat Team Busut untuk meneruskan misi memburu ‘ketupat besi’ di puncak bukit dan gunung di masa hadapan.