Kerajaan perlu fokus isu harga barang, gaji

Rafizi ketika bercakap pada program Bual Bicara: Melayu Teracam, Melayu Vs Melayu Terancam, Melayu Kini Vs Melayu Kroni di Bandar Seri Sendayan di sini, malam tadi. - Foto Sinar Harian SYAMILAH ZULKIFLI
A
A

SEREMBAN - Kerajaan perlu menumpukan kepada dua perkara yang mendesak iaitu mengurangkan harga barang dan menaikkan gaji.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, apa yang berlaku hari ini barang barang naik lebih cepat berbanding gaji sehingga membuatkan rakyat rasa terbeban dengan kos sara hidup yang semakin tinggi.

Menurutnya, bagi mengatasi masalah harga barang, kerajaan perlu melihat rantaian harga barang yang menyebabkan berlaku kenaikan.

“Contohnya harga ayam, mahalnya di mana? Masalahnya dekat dedak. Selama 60 tahun kerajaan BN, kilang dedak pun tak cukup sehingga kita kena import.

“Jadi kerajaan perlu pastikan bahan mentah untuk ternakan ini mencukupi dalam negara. Projek ini lebih penting berbanding projek lain,” katanya pada Bual Bicara: Melayu Terancam, Melayu Kini VS Melayu Kroni di sini, malam tadi.

Pada masa sama beliau berkata, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub juga perlu cepat bentangkan kepada rakyat apa rancangan untuk memastikan bekalan makanan mencukupi supaya boleh kurangkan import.

Menurutnya, kerajaan juga perlu mencari jalan untuk menaikkan gaji pekerja yang mana ia merupakan masalah yang perlu dirungkai, di samping memerlukan gabungan undang-undang baharu.

Malah kata Rafizi, jika keadaan mendesak, ia memerlukan suntikan dana dari kerajaan.

“Masalahnya jika tanya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, dia cakap wang tiada dan itu jadi masalah. Tapi pandangan saya jika dibiarkan kepada majikan untuk naikkan gaji semata-mata, memang tiada kenaikan sewajarnya dan ia perlu campur tangan kerajaan.

“Seperti yang pernah berlaku di Singapura pada tahun 70-an di mana negara itu hadapi kekangan gaji rendah dan kerajaan telah tetapkan undang-undang mesti ada kenaikan gaji wajib yang dipersetujui antara kerajaan, pekerja dan majikan.

"Jika majikan tidak cukup duit, kerajaan beri pinjam duit dulu kepada majikan. Itu antara program yang perlu dipertimbangkan kerajaan kita, tapi saya faham ia akan ada kesan kewangan dan itu mungkin lambat sikit,” katanya.

Beliau percaya jika itu dapat dilakukan, ramai pengundi atas pagar bersetuju bahawa kerajaan PH berkhidmat dengan lebih baik dan jujur berbanding BN.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia