Nicol tersingkir daripada Kejohanan Terbuka DPD

Nicol mempamerkan aksi cemerlang menundukkan juara remaja dunia, Rowan Elaraby pada pusingan pertama Terbuka Skuasy DPD Belanda, kelmarin.
A
A

RATU skuasy negara, Datuk Nicol David gagal mara ke suku akhir Kejohanan Skuasy Terbuka DPD 2019 selepas kalah kepada juara bertahan dunia, Nour El Sherbini dari Mesir dalam perlawanan pusingan kedua di Eindhoven, Belanda, pada Khamis (Jumaat di Malaysia).

Sherbini, pilihan kedua, terbukti terlalu gagah bagi pemain kelahiran Pulau Pinang itu, apabila menang selesa 11-8, 11-4, 11-2 dalam hanya 21 minit.

Mengulas tentang kekalahan itu, Nicol berkata, Sherbini berada dalam kedudukan terbaik untuk memenangi perlawanan itu, dan menambah, beliau memberi tentangan habis-habisan namun lawannya itu membuktikan beliau adalah pemain terbaik di dunia.

“Beliau (Sherbini) masih meneruskan aksi cemerlangnya, saya amat kagum dengan tiga kejuaraan dunia yang diraihnya setakat ini," Nicol dipetik sebagai berkata, dalam laman sesawang kejohanan, www.dpdopensquash.com.

Nicol, yang tinggal di Amsterdam, mengucapkan terima kasih kepada penduduk tempatan yang sentiasa memberi sorakan galakan kepadanya sejak 16 tahun lepas, terutamanya apabila beliau memenangi dua kejuaraan dunia di negara Eropah.

"Sungguh hebat apabila ada pasukan sorakan yang memberi galakan kepada saya dan menyokong saya sehingga ke penamat. "Saya fikir cara penduduk dan cara SquashCity itu menjadikan mereka sebuah keluarga sebenar kepada saya yang berada jauh dari tanah air. Memang seronok berada di sini dan saya rasa belum puas, ia amat hebat, begitu banyak kenangan indah," kata Nicol.

Nicol yang akan bersara pada akhir musim ini, merakamkan penghargaan kepada bekas legenda skuasy Australia, Liz Irving yang sentiasa berada bersama sepanjang jatuh bangun kerjayanya sejak 16 tahun lepas.

Sementara itu, Sherbini berkata bermain menentang Nicol yang merupakan antara legenda sukan skuasy sejak beberapa dekad lepas adalah detik istimewa dalam hidupnya.

"Saya telah beberapa kali berdepan dengan beliau dan perlawanan itu sentiasa istimewa. Beliau banyak berjasa kepada sukan kita dan saya pula banyak belajar daripadanya. Semasa usia saya masih muda, saya sentiasa menyanjung beliau, jadi memang sukar untuk bermain menentangnya,” kata Sherbini.

"Saya rasa kali pertama kami beraksi adalah di Malaysia dan beliau kalahkan saya 3-0 dalam masa 20 minit. Saya juga kalahkan beliau 3-2 di Malaysia buat kali pertama dalam Kejohanan Dunia. Ia satu daripada pencapaian terbesar dalam hidup saya,” kata pemain kelahiran Alexandria ini. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia