Assange berdepan hukuman penjara lima tahun

Julian Assange ditahan oleh polis Britain di London semalam. - Foto Reuters
Julian Assange ditahan oleh polis Britain di London semalam. - Foto Reuters
A
A
A

LONDON - BRITAIN . Pengasas WikiLeaks Julian Assange yang ditahan di London semalam berdepan hukuman penjara lima tahun di Amerika Syarikat (AS) sekiranya didapati bersalah atas dakwaan konspirasi pembocoran maklumat rahsia.

Assange berlindung di kedutaan Ecuador sejak tahun 2012 bagi mengelak ekstradisi ke Sweden berhubung kes serangan seksual yang kini telah digugurkan.

Mahkamah Majistret Westminster semalam mendapati Assange bersalah kerana gagal menyerah diri ke mahkamah ekoran waran yang dikeluarkan pada tahun 2012 itu.

Assange yang perlindungan suakanya telah ditarik balik oleh Ecuador kini turut berdepan dakwaan kerajaan AS berhubung salah satu kes terbesar melibatkan kebocoran rahsia kerajaan. Kerajaan Britain akan menentukan sama ada akan mengekstradisi Assange atau sebaliknya berhubung dakwaan Jabatan Keadilan AS bahawa beliau berpakat dengan bekas penganalisa perisikan, Chelsea Manning untuk memuat turun data rahsia pelbagai agensi kerajaan AS dan disebarkan di laman WikiLeaks.

Kronologi kes Julian Assange

* Ogos 2010 - Pejabat Pendakwaan Sweden mengeluarkan waran tangkap terhadap Julian Assange.

* Terdapat dua tuduhan berasingan melibatkan rogol dan pencabulan.

*Assange melabel dakwaan tersebut sebagai tidak berasas.

* Disember 2010 - Julian Assange ditahan di London dan diikat jamin pada cubaan kedua.

Artikel Berkaitan:

* Mei 2012 - Mahkamah Agung United Kingdom (UK) mengarahkan Assange diekstradisi ke Sweden berhubung tuduhan terdahulu.

* Jun 2012 - Assange memasuki Kedutaan Ecuador di London.

* 0gos 2012 - Ecuador memberi perlindungan suaka kepada Assange dengan alasan mungkin berlaku pelanggaran hak asasi kemanusiaan sekiranya beliau diekstradisi.

*Ogos 2015 - Pihak Pendakwaan Sweden menggugurkan tuduhan melibatkan pencabulan namun Assange masih berdepan tuduhan rogol.

* Oktober 2015 - Polis Metropolitan mengumumkan tiada lagi anggotanya akan ditempatkan di luar kedutaan Ecuador.

* Februari 2016 - Barisan panel Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa Assange telah ditahan secara sewenang-wenangnya oleh pihak berkuasa UK dan Sweden sejak 2010.

* Mei 2017 - Pengarah Pendakwa Awam Sweden mengumunkan tuduhan rogol terhadap Assange digugurkan.

*Julai 2018 - UK dan Ecuador mengesahkan perbincangan berhubung nasib Assange.

* Oktober 2018 - Assange diberi garis panduan di kedutaan Ecuador.

* Beliau kemudian melancarkan tindakan undang-undang terhadap kerajaan Ecuador.

* Disember 2018 - Peguam Assange menolak perjanjian oleh Presiden Ecuador yang mahukan beliau meninggalkan kedutaan berkenaan.

* Februari 2019 - Australia memberi Assange pasport baharu ekoran kebimbangan perlindungan suaka yang diterimanya akan ditarik balik oleh Ecuador.

* April 2019 - Polis Metropolitan menahan Assange kerana gagal menyerah diri ke mahkamah berhubung waran yang dikeluarkan pada tahun 2012.

* Assange didapati bersalah dan berdepan hukuman 12 tahun penjara, selain berdepan ekstradisi berhubung tuduhan AS melibatkan konspirasi kebocoran maklumat.

Assange menubuhkan WikiLeaks pada tahun 2006 dengan tujuan mendapatkan dan menerbitkan dokumen dan gambar rahsia.

Organisasi tersebut menjadi terkenal empat tahun kemudian apabila ia menerbitkan rakaman tentera AS di Iraq membunuh orang awam daripada sebuah helikopter. - Agensi

ARTIKEL BERKAITAN: Polis Britain tahan pengasas WikiLeaks