Lebih 50,000 tan metrik sampah dibersihkan di Sungai Klang

Syaiful (tiga dari kiri) bersama Menteri Besar, Amirudin Shari dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada Forum Perniagaan Selangor Synergies Siri Ketujuh: Selangor Maritime Gateway, semalam. - Foto: MBI Selangor
Syaiful (tiga dari kiri) bersama Menteri Besar, Amirudin Shari dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada Forum Perniagaan Selangor Synergies Siri Ketujuh: Selangor Maritime Gateway, semalam. - Foto: MBI Selangor
A
A
A

SUBANG - Dianggarkan lebih 50,000 tan metrik sampah di Sungai Klang berjaya dibersihkan sejak pelancaran projek Selangor Maritime Gateway (SMG) oleh Kerajaan Selangor, empat tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Landasan Lumayan Sdn Bhd, Syaiful Azmen Nordin berkata, walalupun kadar sampah terkumpul semakin meningkat namun jumlah yang berjaya dibersihkan pada setiap tahun menunjukkan pengurangan.

"Ketika pelaksanaan kerja pembersihan pada 2015 lalu, keadaan sampah di permukaan sungai agak penuh sehingga menyukarkan bot untuk bergerak bagi melakukan kerja-kerja pembersihan.

"Namun situasi sekarang semakin baik. Selain sampah berkurangan, bau sungai juga sudah tidak busuk seperti dahulu dan ini sudah tentu perkembangan positif hasil usaha kerajaan negeri mewujudkan inisiatif SMG ini," katanya seperti dipetik Selangorkini.

Syaiful berkata demikian pada Forum Perniagaan Selangor Synergies Siri Ketujuh: Selangor Maritime Gateway anjuran Perbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor di sebuah hotel di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya turut memasang tujuh perangkap sampah baharu di sepanjang sungai utama selain 48 perangkap sampah turut diletakkan di semua cabang sungai yang mengalirkan punca air ke Sungai Klang.

"Kita melihat usaha ini sebagai antara faktor bagaimana Sungai Klang semakin bertambah baik, walaupun pada awalnya sukar namun kita yakin pelaksanaan ini akan berjaya jika mendapat kerjasama daripada masyarakat setempat.

"Tahap kualiti air Sungai Klang juga berubah jika dibandingkan lima tahun lalu apabila berubah dari tahap lima kepada tahap tiga dan empat," katanya.

Artikel Berkaitan: