Ernst & Young bukan juruaudit TH

Lembaga Tabung Haji
Lembaga Tabung Haji
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ernst & Young (EY) menafikan dakwaan bahawa mereka terlibat sebagai juruaudit Lembaga Tabung Haji (TH) dan tidak mengeluarkan sebarang laporan audit berhubung penyata kewangan TH.

Memetik laporan Astro Awani, firma audit itu menjelaskan, pihaknya tidak menyemak penyata pendapatan TH dan tidak terlibat dalam penilaian aset dan liabiliti TH dan aset anak-anak syarikatnya.

Penjelasan menerusi satu kenyataan media itu dibuat EY berikutan pelbagai laporan media pada Selasa mengenai firma tersebut dan TH.

Dalam kenyataan itu, EY menjelaskan bahawa pihaknya telah ditugaskan Lembaga Pengarah TH untuk melaporkan sama ada kunci kira-kira pro forma pada 31 Disember 2015, 31 Disember 2016 dan 31 Disember 2017 telah disediakan dengan sempurna berdasarkan kriteria yang boleh digunakan.

Penjelasan yang dibuat ini sama seperti yang dinyatakan dalam laporan firma juruaudit antarabangsa tersebut kepada lembaga pengarah TH.

"Lembaga Pengarah TH menyediakan kunci kira-kira imbangan pro forma pada 31 Disember 2015, 31 Disember 2016 dan 31 Disember 2017 semata-mata untuk menggambarkan kesan pelaporan pelaburan TH dalam ekuiti, sekuriti dan hartanah pada nilai aset yang dapat direalisasikan dan bukannya kos asal pada kunci kira-kira TH.

"EY tidak melakukan pengauditan maklumat kewangan yang digunakan untuk menyusun kunci kira-kira pro forma," kata kenyataan EY itu.

EY berkata, ia melaporkan bahawa pelarasan dibuat adalah semata-mata untuk maksud menggambarkan kesan laporan pelaburan TH dalam ekuiti, sekuriti dan hartanah pada nilai aset yang boleh direalisasikan pada kunci kira-kira TH.

"Laporan EY tidak boleh disandarkan untuk tujuan pengisytiharan dividen oleh TH pada 4 Februari 2016, 3 Februari 2017 dan 7 Februari 2018 masing-masing untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2015, 2016 dan 2017, kerana laporan EY untuk tahun-tahun yang berkaitan hanya dikeluarkan selepas tarikh pengisytiharan dividen.

Artikel Berkaitan:

"EY mengeluarkan laporannya pada 30 September 2016, 12 Julai 2017 dan 23 Mei 2018 berhubung dengan lembaran imbangan pro forma masing-masing pada 31 Disember 2015, 2016 dan 2017," jelasnya.

[ARTIKEL BERKAITAN: TH: Laporan EY atau PwC yang betul?]

[ARTIKEL BERKAITAN: Kenapa jual aset untuk selesaikan isu TH?]

[ARTIKEL BERKAITAN: Skandal TH: SPRM campur tangan jika salah guna kuasa]

Firma itu juga menjelaskan pihaknya juga tidak pernah menyatakan mengenai kesesuaian perisytiharan keuntungan yang boleh diagihkan sebagai dividen menurut Akta Tabung Haji 1995.

EY juga ingin menarik perhatian kepada Seksyen 22 Akta Tabung Haji 1995, yang menetapkan syarat-syarat yang perlu dipenuhi oleh TH berhubung pengisytiharan keuntungan boleh diagih sebagai dividen.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tabung Haji bayar dividen guna simpanan pendeposit]

[ARTIKEL BERKAITAN: Tabung Haji ada defisit RM4.1 bilion, langgar akta TH 1995]

[ARTIKEL BERKAITAN: Pematuhan standard perakaunan TH dipersoal]