Misi gelombang tsunami Tok Mat

Mohamad Hassan
Mohamad Hassan
A
A
A

PERKEMBANGAN politik pasca 9 Mei 2018 menyaksikan terlalu banyak perubahan kesan daripada tsunami besar yang melanda politik negara.

Perubahan ini menyaksikan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Kerajaan Persekutuan, sekali gus menamatkan tempoh kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Razak sebagai perdana menteri dan teraju kepimpinan UMNO-BN.

Tampuk kepimpinan parti keramat itu beralih kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pasca Pemilihan Agung UMNO 2018. Namun, nasib Zahid tidak begitu baik setelah disabitkan dengan beberapa kes sehingga memaksa beliau bercuti.

Akhirnya, dalam keadaan UMNO yang terumbang-ambing, kepimpinan UMNO-BN dipangku Mohamad Hassan atau lebih mesra dipanggil Tok Mat.

Nama Tok Mat memang tidak asing dalam pentas politik Malaysia. Biarpun belum berpeluang bergelar anggota Kabinet Persekutuan, namun pengalaman beliau sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang ke-10 sepanjang tiga penggal sejak 2004, tidak boleh dipandang rendah baik kawan mahupun lawan.

Sejak menerajui UMNO mulai 20 Disember 2018 sebagai pemangku, Tok Mat telah memimpin dua Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Di bawah kepimpinan Tok Mat, beliau berjaya membawa gelombang tsunami pada kedua-dua PRK tersebut menerusi strategi kerjasama BN-Pas.

Kemunculan PRK Rantau kali ini menjadi satu medan yang penuh bermakna bukan sahaja kepada UMNO-BN bahkan dilihat sebagai perjuangan hidup mati tokoh politik, Tok Mat.

Artikel Berkaitan:

Apakah gelombang tsunami dibawa Tok Mat yang bermula daripada PRK Cameron Highlands, seterusnya melandai Semenyih akan terus ‘membadai’ Rantau, sekali gus menyaksikan episod ketiga kekalahan PH?

Sejauh manakah pula PH mampu untuk menghalangi badai tsunami Tok Mat dengan mengembalikan keyakinan pengundi khususnya pengundi atas pagar?

Apakah aura kemenangan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada PRK Port Dickson tahun lalu dapat menyekat ‘badai’ tsunami yang dibawa Tok Mat?

Di sebalik melihat menang kalahnya BN dan PH, Rantau juga merupakan medan pertarungan ‘hidup mati’ politik Tok Mat. Apakah Tok Mat akan terus mara atau mungkin ‘terhenti’ sekadar tidak sampai setahun?

Kemenangan di Rantau merupakan misi wajib Tok Mat. Bukan semata-mata kerana beliau sebagai penyandang mahupun mantan MB, tetapi yang lebih utama beliau selaku ‘Ketua Angkatan Perang’.

Bagi PH, menewaskan Tok Mat di Rantau umpama menggugurkan seorang jeneral di markas utama tentera.

Sebaliknya, kemenangan Tok Mat di Rantau bakal mengukuhkan lagi kedudukan politik beliau dalam UMNO-BN. Mungkin tidak keterlaluan untuk diperkatakan bahawa Tok Mat akan dijulang ke puncak UMNO dan BN dengan syarat ahli UMNO tidak bersikap seperti ‘kacang yang lupakan kulit’.

Kejayaan Tok Mat mengemudi bahtera UMNO tatkala gelombang kuat yang melanda di samping menautkan semula ikatan politik UMNO-Pas yang terpisah sekian lama tidak wajar dilupakan ahli UMNO begitu sahaja.

Jika diteliti, PRK Rantau ini dilihat lebih sengit berbanding PRK Semenyih dari aspek komposisi pengundi Melayu. Di Semenyih pengundi Melayu membentuk 70 peratus daripada keseluruhan pengundi.

Di Rantau, jumlah pengundi Melayu 54 peratus berbanding bukan Melayu 46 peratus. Keadaan ini hampir menyamai komposisi di Cameron Highlands iaitu pengundi Melayu dan Orang Asli 55 peratus, sementara bukan Melayu 44 peratus.

Namun, faktor calon penyandang yang juga anak tempatan dan figura utama politik negeri dan pusat, kerjasama UMNO-Pas, isu-isu semasa yang melanda negara termasuk kegagalan melaksanakan manifesto PRU14, isu pengiktirafan UEC serta bayaran hibah Tabung Haji yang rendah (1.25 peratus) memberi kelebihan kepada BN-Pas.

Isu-isu yang akan dibawa dalam kempen PH adalah berkaitan pendakwaan Najib dalam dana SRC International, penipuan kerajaan terdahulu dalam Felda, hipokrit kerjasama BN-Pas di samping mengingatkan pengundi agar kuasa harus diberikan kepada pemimpin dan parti yang tidak korup.

Semua persoalan dan debaran ini pasti terjawab. Sama ada tsunami Tok Mat bakal ‘membadai’ bumi kelahiran Tok Mat sendiri ataupun tidak, segalanya akan terjawab selepas 13 April ini.

* Zuwairi Zakwa ialah calon PhD daripada Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia