Kuala Lumpur yang manusiawi

A
A
A

MEMENUHI keperluan asas bagi populasi yang semakin meningkat dan ekonomi yang sangat terdedah kepada ketidaktentuan merupakan cabaran paling besar bagi membangun dan menguruskan bandar raya.

Dianggarkan dua bilion penduduk berada di 600 bandar raya pada tahun 2025 iaitu 25 peratus daripada populasi dunia.

Namun bandar raya juga adalah entiti yang mengkonsumsi sumber paling banyak dalam sesebuah negara. Sumber seperti tanah, air, tenaga, galian bumi digunakan dengan kadar yang tinggi dan pantas. Ditambah lagi kota juga adalah penyumbang pembuangan sisa paling banyak. Kota-kota di dunia kini mengeluarkan 10 bilion tan sampah setahun.

Namun atas pendekatan membangun dan mengurus kota raya, yang paling penting adalah ia perlu berpusatkan manusia (people centered). Hanya dengan mengambil kira kesejahteraan penduduk kini dan generasi masa depan akan menjadikan kota raya sebagai kawasan manusia menjalani kehidupan harmoni.

Perubahan landskap Kuala Lumpur begitu pantas sehingga menjadi kota raya mega yang dipenuhi ciri-ciri bandar moden seperti kota raya lain. Kini populasi Kuala Lumpur sudah mencecah 7.6 juta orang.

Mengikut hasrat para perancang bandar raya, Kuala Lumpur bervisi untuk menjadi kota raya bertaraf dunia. Ia menyenaraikan lima matlamat iaitu peranan Kuala Lumpur sebagai pusat komersial dan kewangan antarabangsa, mewujudkan struktur kota yang efisien dan saksama, memperkayakan alam persekitaran, membina kota raya berimej dan beridentiti serta membangun urus kelola yang berkesan dan cekap.

Namun, apa yang perlu dibangunkan ialah pola berfikir komuniti bandar. Ketika pembangunan bandar sangat berorientasikan kebendaan, komersialisme dan konsumerisme, penghuninya hanya menjadi subjek kota yang hilang nilai manusiawi.

Lantaran kos hidup di kota raya jauh lebih tinggi akibat peningkatan populasi dan hampir semua kemudahan memerlukan pembiayaan, maka kehidupan kota raya dengan segala kegemerlapannya belum menjamin suatu keadaan yang serba indah.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, mengubah pola fikir umum mengenai perencanaan bandar raya adalah cabaran paling berat. Menjadikan Kuala Lumpur lebih manusiawi memerlukan kerangka berfikir perancang, sekali gus penghuni bandar raya yang betul dan tidak terpengaruh dengan model negara luar.

Kita mengidamkan Kuala Lumpur yang lebih manusiawi. Kota yang memelihara budaya beradab dan bernilai tinggi yang membangun manusia bertamadun.

Mengharapkan seni budaya bukan hanya menjadi peraga untuk ditonton para pelancong di kota. Juga segala seni yang hidup bukan setakat menjadi bahan pameran dan dipentaskan di Istana Budaya Kuala Lumpur.

Konsumer

Kita mahu Kuala Lumpur yang mendakap manusia sebagai manusia, bukan sebagai produk konsumer di gedung-gedung besar. Warga Kuala Lumpur perlu beradat dan beradab. Rakyat yang mesra dengan bahasa dan kamus lokal perlu diperkasakan dan jangan dibiar disisih dan dimatikan oleh bahasa luar.

Rempuhan pemodenan atas nama kota tekno tinggi, jangan sampai menghapuskan keutuhan budaya tempatan di kota. Kota yang bermegah dengan pencakar langit, jangan sampai menghilang pandangan dan keindahan tasawur langit. Kegelapan malam yang berfungsi untuk menenangkan jiwa kota, jangan dihilangkan menjadi kota cahaya yang melawan fitrah alam. Ruang hijau yang menyejuk dan menyegarkan udara kota, jangan diasakkan dengan asap kenderaan yang menyesakkan nafas.

Kesesakan dan hiruk-pikuk di bandar jangan sehingga kota Kuala Lumpur hilang rupawannya. Jalan dan lorong di kota yang padat dengan kenderaan perlu diberi ruang bernafas agar lebih banyak ruang manusia berjalan dan berinteraksi sihat, bersantai antara generasi, di kota Kuala Lumpur sebagai bandar taman dan bandar segar hidup menjalin habblum minannas.

Kita mengidamkan Kuala Lumpur yang tidak berkasta. Kota yang harus tenang dan damai sehingga para penghuni di pusara sekalipun berasa aman bermastautin di kota kemegahan Malaysia.*Datuk Mohd Azmi Abdul Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu