Polis berkas dua penjenayah di Taman Melawati

Rakaman suspek cuba melarikan diri tular di media sosial.
A
A

AMPANG – Dua penjenayah berjaya diberkas sepasukan anggota dari Balai Polis Taman Melawati di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Mohd Zaid Hassan berkata, kejayaan tangkapan itu turut dibantu oleh Unit Rondaan Bermotosikal yang sedang membuat tugasan operasi cegah jenayah di kawasan Taman Melawati pada jam 6.15 petang.

“Mereka melihat sebuah kereta jenis Honda CRV warna hitam yang dinaiki suspek, suspek cuba melarikan diri telah mengundur kereta sebelum melanggar dua motosikal yang dinaiki anggota polis.

“Kita telah melepaskan dua das tembakan ke arah tayar hadapan, kereta berkenaan terbabas dan telah melanggar empat kenderaan awam,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan kenderaan tersebut polis menjumpai beberapa peralatan antaranya sebilah parang panjang, dua allen key yang diubah suai, empat batang spanar, lima pemutar skru, tiga pemutar skru panjang, lima batang pemotong.

“Kita turut menjumpai tiga batang pemutar skru tayar, lima skru bersaiz besar, satu topeng muka warna putih dan sepasang sarung tangan.

“Kita turut merampas kenderaan yang dinaiki suspek yang dilaporkan hilang di Kepong serta sebuah Toyota Vellfire warna hitam turut dilaporkan hilang di Selayang,” katanya.

Mohd Zaid berkata, suspek berusia 25 dan 38 tahun.

“Salah seorang daripada mereka mempunyai lapan rekod jenayah lampau dan satu rekod dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes jenayah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia