KADA bukan sekadar salurkan air

Md Alwi menandatangani dokumen penyerahan tugas secara rasmi kepada Husam di Ibu Pejabat KADA di Lundang di sini.
Md Alwi menandatangani dokumen penyerahan tugas secara rasmi kepada Husam di Ibu Pejabat KADA di Lundang di sini.
A
A
A

KOTA BHARU - Peranan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) sepatutnya bukan sekadar menjadi pihak yang membekalkan sumber pengairan kepada petani di negeri ini.

Bekas Pengerusi KADA, Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata, beliau mengharapkan pengerusi baharu, Senator Datuk Husam Musa dapat mengembalikan peranan jabatan itu sebagaimana digariskan Akta KADA 1972.

“Saya rasa pilihan (Husam sebagai pengerusi) sangat tepat dan sesuai. Saya memohon beliau dapat mengembalikan peranan KADA sebagai institusi yang berwibawa menggerakkan pertanian, sosial dan ekonomi Kelantan.

“Tetapi di akhir-akhir tempoh saya menjadi Pengerusi KADA ia hanya menjadi sebuah jabatan kerajaan. Ini yang kita tidak mahu kerana mengikut Akta KADA ia adalah sebuah institusi tersendiri dan bebas ditadbir di bawah akta khas,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian pada majlis serah tugas secara rasmi kepada Pengerusi Baharu KADA, Husam di ibu pejabat KADA di Lundang di sini, hari ini.

Menyahut harapan tersebut, Husam berkata, pihaknya akan terus mengenal pasti kelemahan dan juga kekuatan yang dimiliki KADA untuk memastikan matlamat penubuhan agensi itu memberi manfaat kepada rakyat.

“Insya-ALLAH KADA boleh berperanan dalam meningkat kedudukan ekonomi dan kesejahteraan rakyat di dalam zon KADA seperti mana kehendak Akta KADA serta harapan Datuk Alwi.

“Kita mahu KADA bukan sahaja terlibat dalam pengairan dan pertanian padi tetapi falsafah kami adalah untuk menerajui pembangunan ekonomi dan sosial di Kelantan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pelantikan Husam sebagai pengerusi baharu berkuat kuasa pada 1 Mac lalu menggantikan Alwi yang memulakan perkhidmatan beliau bermula Julai 2013 hingga Mei 2018.

Husam juga memberitahu beliau akan mengadakan kunjungan hormat ke atas dua mantan Pengerusi KADA iaitu, Tan Sri Annuar Musa dan Tan Sri Hussein Ahmad untuk memantapkan lagi peranan jabatan itu.