Projek CODPAS turunkan kes denggi

Bekas yang berpontensi menjadi sarang pembiakan aedes dikutip pada Program Gotong-Royong Mega Basmi Aedes Bersepadu Interagensi Peringkat Daerah Kemaman di Kampung Tengah, Chukai.
Bekas yang berpontensi menjadi sarang pembiakan aedes dikutip pada Program Gotong-Royong Mega Basmi Aedes Bersepadu Interagensi Peringkat Daerah Kemaman di Kampung Tengah, Chukai.
A
A
A

KEMAMAN - Projek inovasi 'Classification Of Dengue Priority Areas System' atau ringkasnya CODPAS yang dijalankan Unit Vektor Pejabat Kesihatan Kemaman sejak tahun lalu berjaya memberi impak penurunan kes denggi di daerah ini.

Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman, Dr Mohd Anuar Abd Rahman berkata, CODPAS adalah satu sistem pembaharuan dalam menilai sesuatu lokaliti berdasarkan penilaian risiko.

Menurutnya, sehingga minggu ke-15 tahun ini hanya sebanyak lapan kes demam denggi berlaku di daerah ini.

"Kemaman muncul sebagai satu-satu daerah yang tidak mencatatkan peningkatan kes denggi berbanding daerah lain di Terengganu yang menunjukkan peningkatan berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Trend kes juga didapati ada penurunan setiap tahun dan kita juga bersyukur kerana Kemaman masih mengekalkan sifar wabak sejak empat tahun lepas serta tiada rekod kematian akibat denggi denggi dengan rekod kematian terakhir pada 2016," katanya.

Beliau ditemui pada Program Gotong-Royong Gempur Aedes Bersepadu Interagensi Peringkat Daerah Kemaman yang dijalankan di Kampung Tengah, Chukai, di sini.

Ditanya lanjut mengenai CODPAS, Mohd Anuar berkata, menerusi sistem itu, pasukan unit vektor yang menjalankan aktiviti pemeriksaan aedes di lapangan akan membuat penilaian risiko bukan sahaja di premis kediaman malah di keseluruhan lokaliti yang meliputi kawasan berisiko antaranya tempat pembuangan sampah haram, rumah dan tanah kosong terbiar.

Jelasnya, kawasan tersebut merupakan ancaman utama yang mana banyak bekas-bekas berpotensi menjadi sarang nyamuk ditemui.

Artikel Berkaitan:

"Setiap lokaliti yang diperiksa akan diklasifikasikan kepada tahap ekstrim, tinggi, sederhana dan rendah.

"Bagi kawasan berisiko ekstrim dan tinggi akan diambil tindakan serta merta melalui tindakan bersepadu melalui gotong-royong secara berfokus," katanya.

Tambah Mohd Anuar, tempat yang berisiko khususnya melibatkan tempat pembuangan sampah haram dan rumah terbiar yang telah dikenal pasti akan difokus bagi pemusnahan bekas-bekas berpotensi.

Beliau berkata, projek CODPAS juga telah dinaik taraf penggunaannya yang mana ia dimasukkan dalam aplikasi telefon pintar yang menggunakan nama 'Dengue Alert Apps'.

"Data-data penilaian risiko ini boleh dipaparkan secara atas talian melalui pemetaan digital namun buat masa ini aplikasi hanya digunakan oleh anggota kakitangan kesihatan dan agensi berkaitan.

"Aplikasi ini juga akan dikemaskini untuk diperluas untuk manfaat kepada orang ramai supaya lebih peka dalam pencegahan denggi," katanya.

Katanya lagi, projek berkenaan telah dibentang di seminar peringkat negeri dan kebangsaan serta mendapat kejayaan dan pengiktirafan dalam menerajui inovasi halatuju kaedah kawalan denggi.

Pencapaian paling membanggakan yang diperoleh adalah pernah mendapat tempat pertama semasa persidangan 'National Scientific On Medical and Health di Institut Latihan Kementerian Kesihatan pada tahun lalu.