X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 06 Disember 2021

Perak kekal kadar tarif air sehingga kajian: Exco

Keadaan bekalan pengairan air mentah dari empangan Kolam Bukit Merah ke dua terusan bagi tujuan domestik dan pertanian. - Foto: Abdul Yunus Jamhari
A
A

IPOH - Kerajaan Perak menegaskan kadar tarif air negeri itu masih kekal seperti biasa sehingga proses kajian semula kadar tersebut diselesaikan sebelum penghujung tahun ini.

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur,Pertanian dan Perladangan Negeri Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata, sehingga kini, kerajaan negeri belum membuat keputusan sama ada hendak mengekalkan kadar tarif air seperti sediakala atau dinaikkan pada masa hadapan.

Menurutnya, satu proses kajian kadar tarif air sudah dikendalikan kerajaan negeri di bawah agensi kerajaan bertanggungjawab di mana kerajaan pusat memberi masa sehingga penghujung tahun untuk ianya dimuktamadkan.

"Bagaimanapun, proses kajian itu akan turut mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

"Ini disebabkan kerajaan negeri sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dalam apa-apa keputusan penting melibatkan mereka.

"Kerajaan negeri turut memberi jaminan tidak akan membuat sebarang keputusan melulu dalam hal ini," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas kenyataan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar menegaskan enam negeri telah bersetuju menaikkan kadar tarif air, selaras dengan usaha kerajaan menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini.

Xavier Jayakumar berkata, persetujuan itu dicapai hasil rundingan kementerian bersama kerajaan negeri dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang masih lagi berjalan ketika ini.

Bagaimanapun, Xavier Jayakumar tidak menyatakan enam negeri itu.

Berdasarkan statistik laporan rasmi Lembaga Air Perak(LAP) bagi tahun 2017, kadar tarif air ditetapkan bagi pengguna domestik dan kerajaan di Perak adalah sebanyak RM0.30 bagi 10 meter padu pertama diikuti RM0.70 bagi 10 meter padu seterusnya dan RM1.03 bagi setiap penggunaan lebih 20 meter padu.

Manakala bagi pengguna perniagaan dan Industri, kadar tarif air ditetapkan adalah RM1.20 bagi 10 meter padu pertama, diikuti RM1.40 bagi 10 meter padu seterusnya dan RM1.61 bagi penggunaan lebih 20 meter padu.

Dengan keseluruhan penduduk negeri Perak berjumlah 2,496,400 juta orang, LAP merekodkan sejumlah 773,349 pelanggan aktif dengan jumlah pelanggan domestik sebanyak 676,619 akaun diikuti pelanggan perniagaan dan industri(96,730 akaun).

Berbekalkan keseluruhan 44 loji rawatan air di seluruh Perak yang menerima bekalan air dari dua empangan utama, bekalan sungai utama air mentah adalah berasal dari Sungai Perak yang merangkumi 45 peratus daripada bekalan air mentah.

Laporan tahunan LAP terkini turut menyatakan prestasi kutipan air pada tahun 2017 mencatatkan peningkatan dua peratus dengan nilai kutipan bil air berjumlah RM347,914,638 berbanding nilai kutipan hasil air RM344,356,936.

Sehingga kini, Sinar Harian dimaklumkan liputan bekalan air di kawasan bandar di Perak adalah sebanyak 100 peratus manakala liputan bekalan air luar bandar meliputi 99.2 peratus.

LAP turut melaporkan kadar air tidak berhasil (NRW) berjumlah 30.9 peratus.

Selain itu, kadar tarif air turut difahamkan tidak pernah disemak sejak lebih lima sehingga 10 tahun lalu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!