'Elak ambil jalan singkat miliki lesen terbang'

Lokman Jamaan.
Lokman Jamaan.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 20 kes melibatkan penjualan lesen memandu palsu atau lesen terbang dikesan menerusi media sosial sehingga Oktober ini.

Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Datuk Lokman Jamaan berkata, kegiatan sindiket yang menawarkan lesen memandu ini dikesan bergiat secara aktif bagi memperdaya individu yang mahu mendapatkan lesen memandu dengan jalan singkat.

"JPJ telah membuat beberapa laporan polis berkaitan kegiatan sindiket penjualan lesen memandu palsu ini, yang mana kegiatan mereka ini dikesan secara aktif menerusi media sosial seperti Facebook, Telegram dan WeChat.

"Saya ingin mengingatkan bahawa pihak JPJ tidak terlibat dalam mana-mana penjualan lesen memandu ini, mereka yang mahu mendapatkan lesen memandu perlu mematuhi syarat dan prosuder ditetapkan dengan mengikuti kelas dan ujian memandu yang sah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia(JPJ) Selangor di sini pada Khamis.

Katanya, tindakan tegas dikenakan bukan sahaja melibatkan mereka yang didapati terlibat dalam penjualan ini.

"Kita dapati mereka yang memiliki lesen terbang ini terdiri daripada warga tempatan, dan saya ingatkan, segera tampil kepada JPJ dan serahkan lesen memandu mereka yang tidak sah itu kepada pihak kami.

"Jujurlah dalam setiap perbuatan dan tindakan, jangan hanya kerana tidak mahu mengikuti peraturan, sanggup menggunakan cara yang salah, dan mereka harus ingat perbuatan memiliki lesen memandu palsu ini adalah salah dari segi peraturan dan tindakan tegas akan dikenakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, tidak wajar sekiranya dikatakan proses untuk memiliki lesen memandu rumit.

"Jangan terlalu mengejar jalan singkat dan mudah, ikuti segala prosuder ditetapkan, dan bagi saya proses untuk mendapatkan lesen tidaklah sukar.

"Perlu untuk memiliki lesen yang sah, kerana menerusi kelas dan ujian yang dijalankan, ia menitik berat berkaitan aspek keselamatan jalan raya, jadilah pengguna jalan raya yang bertanggungjawab," katanya.