Johor tak naik kadar tarif air

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Johor bukan antara enam negeri yang menyatakan persetujuan untuk menaikkan kadar tarif air, selaras dengan usaha kerajaan menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini.

Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan Dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse Johor berkata, setakat hari ini, Kerajaan Johor mengambil pendirian tidak akan menaikkan tarif air kerana kali terakhir berbuat sedemikian adalah pada tahun 2015.

“Kita telah naikkan. Masa itu kita sudah naikkan tinggi juga. Kita sudah naik banyak. Dan kita kena faham tarif air di Johor adalah salah satu yang tertinggi di Malaysia.

“Buat masa ini, kita tidak nampak ada apa-apa keperluan untuk menaikkan (tarif air),” katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir ke International Chamber Networking Big Wheel Seebank di Sunway Iskandar di sini hari ini.

Wee Tse berkata, beliau percaya langkah Kerajaan Persekutuan menaikkan tarif air adalah untuk menyeragamkan kadar-kadar yang berbeza antara negeri dengan negeri.

“Contohnya di Pulau Pinang, ia (kadar tarif air) masih sangat rendah, berbanding Johor. Jadi maknanya kerajaan nak seragamkan. Kalau mereka nak naikkan, dan kita (Johor) naikkan, maknanya jurang ini tidak akan rapat selamanya.

“Jadi bagi saya buat masa ini, kita selesa dengan apa yang kita ada sekarang,” katanya.

Semalam, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A Xavier Jayakumar memaklumkan enam negeri telah bersetuju menaikkan kadar tarif air, selaras dengan usaha kerajaan menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, persetujuan itu dicapai hasil rundingan kementerian bersama kerajaan negeri dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang masih lagi berjalan ketika ini.

Bagaimanapun, Xavier tidak menyatakan enam negeri tersebut.