Bina jambatan dengan NGO Islam

A
A
A

SEJAK kebelakangan ini kita perhatikan NGO Islam lebih lantang bersuara dalam sesuatu isu yang melibatkan kepentingan mereka.

Antara isu yang jelas diperjuangkan mereka seperti ICERD, Statut Rom, hibah Tabung Haji, kematian Mohd Adib Kasim dan banyak lagi.

Namun apa yang menyedihkan mereka sering dituduh didalangi oleh pihak tertentu. Sering diungkit, semasa kerajaan lama kenapa isu sama tidak dibangkitkan, walhal mereka sendiri yang lupa NGO Islam membangkitkan pelbagai isu dulu kini dan pada masa akan datang tanpa pengaruh politik kepartian.

Pihak kerajaan melihat NGO Islam daripada lensa politik kepartian bukan sebagai rakan strategik yang boleh membantu.

Walaupun mungkin ada sesetengah NGO yang dikawal oleh parti politik tertentu, namun tidak adil membuat generalisasi kepada semua NGO Islam tunduk di bawah telunjuk politik.

Banyak NGO yang masih profesional dan memperjuang sesuatu isu mengikut fokus penubuhan mereka.

NGOlah badan yang turun padang, lebih memahami keperluan rakyat berbanding sesetengah ahli politik yang hanya menduduki kerusi empuk.

Walaupun NGO Islam mengkritik pihak kerajaan tetapi ia harus dilihat daripada lensa memperbaiki bukan menjatuhkan kerajaan sebagaimana seteru politik mereka.

Artikel Berkaitan:

Sebagai Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM), saya merasakan terlalu sedikit 'engagement' dilakukan pihak kerajaan dengan NGO Islam amnya dan PPMM khasnya.

Hal yang sama tidak berlaku kepada NGO liberal. Mereka saban kali dijemput dan dirundingi dalam pelbagai isu. NGO Islam selalu musykil kenapa perbezaan ini wujud.

Jika ada pun NGO Islam dijemput, ia dihadkan kepada NGO yang pro kepada pandangan kerajaan sahaja. NGO yang berpaksi kepada bidang pengkhususan tertentu langsung tidak diberi tempat.

Malah NGO Islam dihadkan kepada partisipasi dengan agenda kerajaan yang berlabelkan Islam sahaja sedangkan isu Islam merangkumi pelbagai aspek kehidupan manusia.

Sangat jarang NGO Islam diminta pandangan oleh agensi kerajaan yang tidak memakai nama Islam seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pendidikan dan lain-lain.

Sekali lagi saya katakan jika ada NGO Islam dijemput pun hanyalah NGO tertentu. Ia seolah-olah agensi kerajaan tidak mengiktiraf kepakaran dan kewujudan NGO Islam.

Untuk rekod saya tidak hanya bercakap mengenai PPMM semata, tetapi NGO lain yang sering bertanya kepada saya tentang peranan yang dapat mereka sumbangkan kepada kerajaan pada masa ini.

Sebab itulah dalam banyak isu, NGO Islam 'melatah' kerana tiada apa-apa maklumat disampaikan kepada mereka untuk memahami pendirian kerajaan.

Apabila NGO Islam bersuara menentang, mereka dilabel tidak memahami Perlembagaan, mahu menjatuhkan kerajaan, mempunyai agenda tertentu dan banyak lagi. Apakah NGO Islam tidak mempunyai hak untuk dirundingi dan suara mereka tidak perlu didengari?

Zaman kerajaan mengetahui segalanya sudah lama berlalu. Pertukaran pandangan antara kerajaan dan NGO Islam perlu dilaksanakan agar tindakan kerajaan dapat diterima NGO Islam arus perdana.

Pada masa ini saya merasakan jambatan sekian lama dibina antara NGO Islam dan pihak kerajaan semakin usang dan rapuh. Tidak mustahil akan musnah ditelan zaman jika tidak diperbaiki.

Perbaikilah jambatan ini agar ia dapat memberi manfaat kepada golongan yang berada di tebing sebelah sana dan di sebelah sini. Sama-samalah kita membina negara ke arah yang lebih baik lagi.

Kalau dahulu ada Majlis Perundingan Islam, Majlis Amal Islami NGO Islam, Komuniti Syariah, Multaqa Perpaduan Ummah dan Majlis Dakwah Negara yang menyatukan NGO Islam serta duduk bersama pihak kerajaan menangani isu-isu besar negara.

Tetapi kini, entiti-entiti tersebut hanya tinggal sebagai dinosaur yang dikenang kemegahan mereka tetapi tidak ada lagi kesannya ketika ini.

Saya menyeru pihak kerajaan memikirkan bagaimana dapat menghidupkan semua entiti itu bagi terus menjana kecemerlangan umat.

Jangan disia-siakan tenaga dan fikiran NGO Islam yang pasti boleh dimanfaat oleh pihak kerajaan dalam sebarang tindakan mereka membangun negara.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia