SADA disaran segera bina loji air

Muhammad Sanusi (tengah) bertanya sesuatu kepada Mohd Suhaimi (kiri) berkaitan kos dan perbelanjaan menangani krisis air Merbok, seusai taklimat di pejabat SADA, hari ini.
Muhammad Sanusi (tengah) bertanya sesuatu kepada Mohd Suhaimi (kiri) berkaitan kos dan perbelanjaan menangani krisis air Merbok, seusai taklimat di pejabat SADA, hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Jawatankuasa kira-kira wang (PAC) Kedah mengesyorkan agar kerajaan negeri menyegerakan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau berbanding pendekatan jangka pendek menggunakan lori tangki bagi menangani krisis bekalan air.

Pengerusinya, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini kerana kos penyelesaian jangka pendek itu didapati lebih tinggi sekiranya masalah air berulang.

Menurutnya, pihaknya turut meminta Syarikat Air Darul Aman (SADA) memperjelaskan peningkatan kos bagi menangani krisis air di Kedah Tengah, melibatkan kawasan Merbok dan Tanjung Dawai susulan kosnya didakwa lebih tinggi berbanding ketika berdepan krisis El Nino pada 2016.

“Untuk atasi masalah bekalan air, SADA menyediakan lori tangki dan tangki jumbo berkapasiti 12,000 gelen, namun persoalan dibangkitkan PAC adalah semua air yang diagih dengan lori adalah air tidak berhasil (NRW) kepada SADA, ini merugikan kerana kosnya tinggi,” katanya, pada sidang media, di sini, selepas hadir taklimat berkaitan kos dan perbelanjaan krisis air di Merbok, di bangunan SADA, hari ini.

Hadir sama, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sada, Mohd Suhaimi Mohd Jusoh.

Muhammad Sanusi berkata, berdasarkan pengiraan kasar, kos bagi satu meter padu air yang dibekalkan melalui lori mencecah RM3.90, berbanding kos dibayar pengguna melalui paip air hanya 90 sen/meter padu.

“Walaupun kos tinggi, namun SADA perlu laksana tanggung jawab bekalkan air kepada pengguna. Kos tambahan itu terpaksa ditanggung akibat penggunaan lori tangki, jadi PAC berpendapat kaedah ini bukan penyelesaian terbaik,” katanya.

Menurutnya, anggaran kos dan perbelanjaan bermula Januari hingga 31 Mac lalu, mencecah RM1.15 juta, iaitu kos sewaan lori tangki sebanyak RM993,891; kos penginapan dan makanan (RM70,000), kos bahan api dan selenggara kenderaan (RM31,000) serta tuntutan elaun lebih masa sebanyak RM59,000.

Artikel Berkaitan:

“Perlu cari penyelesaian teknikal lain termasuk menyegerakan LRA Bukit Selambau untuk pastikan bekalan air mentah mencukupi untuk diagihkan ke 14,000 akaun di kawasan terlibat. Kaedah agihan air gunakan lori perlu dielakkan pada masa depan kerana kosnya tinggi,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, pihaknya berharap kerajaan negeri bertindak segera melakukan persediaan jangka panjang agar tidak terlalu bergantung kepada kaedah penyelesaian jangka pendek yang kosnya tinggi.

“Mohon cari penyelesaian teknikal atasi masalah, bukan kaedah merugikan seperti ini. Harus pastikan setiap air yang sampai kepada pengguna melalui paip mendatangkan pulangan dan kurangkan kos, termasuk kawasan terjejas makin berkurangan dari semasa ke semasa,” katanya.

Menurutnya, PAC turut syorkan agar SADA meningkatkan program kesedaran dan pendidikan kepada pengguna dalam penjimatan penggunaan air.

“Usaha bina telaga tiub di kawasan tertentu pula agak rumit dan kos, kerana perlu capai standard sebelum diagihkan, selain perlu lalui beberapa proses. Namun ia masih tak dapat tampung permintaan untuk kawasan terjejas,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, antara kawasan terjejas teruk sejak Januari lalu hingga kini, termasuk Merbok, Tanjung Dawai, Singkir, Semeling dan Bedong, melibatkan 5,000 akaun dengan jumlah penduduk sekitar 20,000.