Pihak dalam inkues lawat van EMRS

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Prosiding inkues menyiasat punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim hari ini ditangguhkan selepas Mahkamah Koroner membenarkan pihak berkepentingan dalam inkues melawat Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya bagi melihat van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang terbabit dalam rusuhan ditapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, tahun lalu.

Pihak berkepentingan itu termasuk Pegawai Pengendali inkues, Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah, Faten Hadni Khairuddin dan peguam Syazlin Mansor yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan jabatan bomba.

Bagaimanapun, Koroner Rofiah Mohamad tidak menyertai lawatan kali ini.

Saksi pakar yang turut hadir ialah Ketua Jabatan Forensik HKL, Datuk Dr Mohd Shah Mahmood, Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi dan Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Prof Dr Shahrom Abd Wahid.

Pasukan itu tiba di Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya pada 11.30 pagi dan meluangkan masa lebih satu jam untuk memeriksa van EMRS dan berbincang mengenai isu yang dibangkitkan sebelum ini iaitu berhubung kecederaan parah ke atas Muhammad Adib, 24, dalam kekecohan itu.

Terdahulu, Hamdan semasa prosiding inkues memohon untuk untuk melihat keadaan van EMRS itu sebelum meneruskan inkues dengan soalan seterusnya kepada Dr Shahrom.

Ketua Balai, Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman yang juga saksi inkues ke-18 memberitahu media bahawa media hanya dibenarkan berada di balai bomba berkenaan selama 15 minit bagi tujuan mengambil gambar sahaja.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lalu dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lalu di Institut Jantung Negara.

Artikel Berkaitan:

Inkues di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung esok.- Bernama