PR1MA Pahang bina 37,000 unit rumah

Wan Rosdy menyampaikan replika kunci kepada penerima sebagai simbolik Penyerahan Kunci PR1MA Pahang Makmur Hijrah Jaya, di sini, hari ini.
Wan Rosdy menyampaikan replika kunci kepada penerima sebagai simbolik Penyerahan Kunci PR1MA Pahang Makmur Hijrah Jaya, di sini, hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Lebih 37,000 unit rumah melalui Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang telah diluluskan kerajaan negeri sejak dilancarkan tahun 2013.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembinaan unit kediaman itu membabitkan 125 projek dan ia sudah melepasi sasaran ditetapkan kerajaan negeri.

Menurutnya, pihaknya sentiasa mencari langkah terbaik bagi menyediakan perumahan mampu milik buat rakyat di Pahang.

"Ketika dilancarkan pada tahun 2013, Kerajaan Pahang yang dipimpin Datuk Seri Adnan Yaakob ketika itu meletakkan sasaran untuk membina 15,000 unit sahaja bagi tempoh antara 2013 hingga 2018, namun ia (sasaran) sudah dilepasi dan sehingga hari ini, kita sudah meluluskan kira-kira 37,000 unit.

"Sebahagian besar daripadanya sudah siap dan ada yang dalam proses pemilihan syarikat pemaju, selain penyelesaian isu lain seperti reka bentuk dan pemilihan lokasi projek.

"Walaupun ada antara projek yang diluluskan itu berdepan masalah kelewatan, kita sudah meminta kerjasama kontraktor dilantik untuk mempercepatkan kerja bagi memastikan setiap pemohon yang layak menerima rumah PR1MA Pahang ini dapat memasuki kediaman mereka secepat mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Kunci PR1MA Pahang Makmur Hijrah Jaya, di sini, hari ini.

Turut hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehudin Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Abdul Rahim Muda.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, menurutnya PR1MA Pahang merupakan sebuah projek yang memfokuskan untuk memberikan harga rumah yang jauh lebih murah berbanding Prima Pahang.

"Kita lebih menumpukan PR1MA Pahang berbanding PR1MA Malaysia kerana ini peluang yang kita (Kerajaan Pahang) dalam memberi harga murah kepada pembeli kerana rumah PR1MA Malaysia harganya lebih mahal.

"Ramai rakyat di negeri Pahang telah berdaftar memohon untuk membeli rumah namun tiada tempat untuk membeli rumah selain harga rumah yang mahal, dengan ini sedikit sebanyak kita membantu rakyat kita memiliki rumah," katanya