KDN beri perhatian aset APMM usang

No Image Caption
A
A
A

SUBANG - Kementerian Dalam Negeri akan memberi perhatian terhadap aset-aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang usang dan tidak mencukupi untuk melaksanakan operasi di laut dengan lebih berkesan, kata Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, APMM juga masih menghadapi kekurangan infrastruktur seperti jeti, kuarters dengan bilangan pegawai dan anggotanya belum mencukupi.

"Ini kita ambil perhatian untuk langkah-langkah ke hadapan. Kita akan usaha kemuka supaya aset-aset perlu diganti akan digantikan, yang perlu diperbaiki akan dilakukan penambahbaikan.

"Kalau perlu beli aset baharu dengan peruntukan disediakan kepada kementerian itu juga akan diambil kira," katanya pada sidang media ketika mengadakan Lawatan Kerja Rasmi ke APMM di Stesen Udara Maritim Subang di sini, hari ini.

Lawatan berkenaan merupakan kunjungan pertama Muhyiddin ke agensi berkenaan selepas dilantik Menteri Dalam Negeri pada pertengahan tahun lepas. Turut hadir Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Seri Zulkifili Abu Bakar.

Terdahulu, dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, APMM telah menerima tiga Kapal Peronda Generasi Baharu (NGPC) dan tiga buah lagi sedang dalam proses penyerahan kepada APMM. Menurutnya, agensi itu juga bakal menerima tiga Kapal Peronda Luar Pantai (OPV) yang kini masih dalam proses pembinaan dengan OPV pertama dijangka siap tahun depan.

"Di samping itu, hasrat APMM untuk memiliki Kapal Induk atau Mothership pada suatu hari nanti akan diberi perhatian sebaiknya,” katanya.

Muhyiddin berkata, beliau difahamkan APMM juga akan diperkasakan dengan penambahan aset-aset udara di mana ia penting dalam melaksanakan operasi membanteras pelanunan, rompakan dan aktiviti mencari dan menyelamat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata sejak penubuhannya sehingga kini, APMM telah melaksanakan lebih 300,000 operasi pengeledahan di laut dan membuat lebih 11,000 tangkapan meliputi pelbagai kesalahan jenayah maritim.

Menurut Muhyiddin, beliau dimaklumkan bahawa agensi itu telah mempunyai pelan perancangan strategiknya sendiri yang dinamakan Pelan Perancangan Strategik Maritim Malaysia 2040.

“Harapan saya agar pelan perancangan strategik ini mampu membangunkan modal insan dan infrastruktur APMM di tahap yang tertinggi sebaris dengan agensi-agensi maritim khususnya di Asia Pasifik,” katanya. - Bernama