Mahkamah tolak permohonan ikat jamin balu CEO Cradle Fund

Samirah Muzaffar, 44, (kanan) yang menghadapi pertuduhan membunuh suaminya Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd Allahyarham Nazrin Hassan pada Jun tahun lalu, hadir bagi permohonan jaminan di Mahkamah Tinggi hari ini.
Bagaimanapun, hakim mahkamah tinggi menolak permohonan ikat jamin Samirah. - Foto Bernama
Samirah Muzaffar, 44, (kanan) yang menghadapi pertuduhan membunuh suaminya Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd Allahyarham Nazrin Hassan pada Jun tahun lalu, hadir bagi permohonan jaminan di Mahkamah Tinggi hari ini. Bagaimanapun, hakim mahkamah tinggi menolak permohonan ikat jamin Samirah. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan ikat jamin Samirah Muzaffar yang menghadapi pertuduhan membunuh suaminya, ketua pegawai eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund) Nazrin Jassan pada Jun tahun lepas.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada peguam tertuduh, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah dan pihak pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Jamil Aripin.

Dalam penghakimannya, Ab Karim berkata, terdapat kemungkinan saksi-saksi dalam kes itu akan diganggu sekiranya tertuduh dibenarkan diikat jamin.

Menurut beliau, dalam kes ini, pembunuhan didakwa berkaitan dalam kalangan anggota keluarga dan saksi-saksi adalah dalam kalangan anggota keluarga selain kejadian berlaku di rumah tertuduh dan mangsa, justeru wujud kemungkinan besar untuk saksi-saksi diganggu oleh wanita itu.

No Image Caption

Mengenai hujahan pihak perayu (tertuduh) sama ada tertuduh boleh menyediakan pembelaan yang lengkap, Ab Karim berpendapat sudah tentu wanita itu boleh berbuat demikian meskipun berada dalam tahanan reman.

“Pihak peguam bela juga menyatakan surat-surat anak guamnya telah ditapis oleh pihak penjara dan seperti yang dinyatakan oleh pihak penjara, hanya sebahagian kecil sahaja kandungan surat tertuduh ditapis. Saya berpendapat sudah tentu keseluruhan surat telah mencapai maksudnya.

“Tertuduh juga boleh berjumpa peguam selama 45 minit dalam seminggu tertakluk kepada peraturan penjara dan ini tidak menghalang hubungan antara tertuduh dan peguamnya. Jadi tidak mungkin pembelaan tertuduh tidak dapat disediakan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai faktor kesihatan ibu bapa serta dua anak tertuduh yang masih kecil, Ab Karim berkata perkara itu tidak cukup untuk dipertimbangkan oleh mahkamah memandangkan mereka masih mempunyai anggota keluarga rapat yang lain untuk menjaga kebajikan serta kesihatan mereka.

No Image Caption

Sehubungan itu, beliau memutuskan untuk menolak permohonan ikat jamin Samirah dan memerintahkan wanita itu kekal dalam tahanan reman.

Beliau turut menetapkan perbicaraan bermula 3 September hingga 15 September dan 23 September hingga 4 Oktober depan.

Pada 12 Mac lalu, Samirah, 44, bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan dua remaja lelaki, masing-masing berumur 14 dan 17 tahun didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas membunuh Nazrin, 47, di sebuah rumah di Mutiara Homes, dekat sini, antara pukul 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi pada 14 Jun 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama itu memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah pada 27 Mac lepas bagaimanapun membenarkan kedua-dua remaja lelaki itu dibebaskan dengan jaminan RM50,000 seorang, selepas membenarkan permohonan jaminan mereka.

Terdahulu, Muhammad Shafee berhujah bahawa anak guamnya harus dibenarkan diikat jamin atas alasan kebebasan anak guamnya untuk berkomunikasi dengan peguam ‘telah disekat’ selain surat mengandungi arahan anak guamnya kepada peguam telah ditapis oleh pegawai penjara.

Tambah beliau, dalam maklumbalas yang diberikan oleh pihak penjara, terdapat peraturan yang diguna pakai pihak penjara berkenaan tapisan berkenaan.

"Beberapa alasan untuk penapisan adalah kepentingan keselamatan negara, menentukan keselamatan penjara dan pencegahan dan pengesanan jenayah, namun tidak ada seperti itu yang ditimbulkan terhadap anak guamnya.

“Apa yang dilakukan oleh pegawai itu ialah beliau membaca surat dan membuat tapisan sesuka hati. Bagi ikat jamin dipertimbangkan, bolehkah dia dalam keadaan waras beri arahan kepada peguamnya? katanya dan menmbah Samirah bersedia untuk dipasang penjejak elektronik (electronic monitor) sekiranya dibenarkan diikat jamin.

Jamil dalam hujahan balasnya pula berkata, pihak pembelaan gagal membuktikan alasan yang ‘luar biasa’ bagi membolehkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan.

Beliau juga berkata terdapat bahaya dan keberangkalian yang tinggi bahawa tertuduh akan melarikan diri dan berkemungkinan mengganggu saksi.

“Walaupun dalam reman, tertuduh masih boleh berjumpa dan memberi arahan kepada peguam-peguamnya. Hak tertuduh terhadap peguam tidak akan dinafikan,” tambahnya.

Media sebelum ini melaporkan Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Petaling Jaya pada 14 Jun tahun lepas, yang pada mulanya dilaporkan berpunca daripada letupan telefon bimbitnya.

Pada 3 Ogos 2018, kematian Nazrin diklasifikasi sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan bomba menemukan kesan petrol di lokasi kebakaran. - Bernama