Hasanah cabar tindakan SPRM beku akaun pencen

A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid memfailkan saman terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mencabar tindakan agensi itu membekukan akaun banknya sejak September tahun lepas.

Hasanah selaku pemohon memfailkan saman pemula itu pada 28 Mac lepas menerusi Tetuan Azam Aziz Shaharudinali & Co dengan menamakan SPRM dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua.

Menerusi afidavit sokongan yang difailkan bersama saman itu, Hasanah mendakwa, pihak SPRM tidak pernah memaklumkan kepadanya berkaitan perintah larangan ke atas akaunnya sepanjang beliau direman oleh SPRM.

Beliau telah direman untuk siasatan pada 29 Ogos 2018 dan dibebaskan daripada tahanan reman pada 3 September 2018 namun mendapati urusan perbankannya gagal ketika berurusan pada keesokannya (4 September 2018).

Menurut Hasanah, beliau kemudiannya menghubungi pegawai penyiasat SPRM untuk mendapatkan penjelasan sebelum pegawai berkenaan menyatakan bahawa akaun bank hanya dibekukan sementara mengikut prosedur siasatan biasa oleh pihak SPRM.

"Sebanyak lima pucuk surat telah dihantar kepada pihak SPRM antara 9 Oktober dan 18 Disember 2018 bagi memohon pelepasan pembekuan akaun bank itu.

"Bagaimanapun pada 6 Disember, bahagian siasatan SPRM menjawab permohonannya untuk pelepasan akaun tidak dapat dipertimbangkan," katanya menurut afidavit tersebut.

Hasanah mendakwa beliau mengalami kesukaran untuk menyara kehidupannya kerana bergantung sepenuhnya kepada duit pencen yang dimasukkan ke dalam akaun bank berkenaan.

Selain itu, beliau mendakwa tidak mempunyai sumber pendapatan lain melainkan wang gaji dan wang pencen tersebut.

Sehubungan itu, Hasanah memohon perintah deklarasi bahawa perintah larangan ke atas akaun bank peribadinya bertarikh 3 September 2018 yang dikeluarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM adalah terbatal dan tidak sah.

Beliau turut memohon perintah deklarasi bahawa Seksyen 37(1) Akta SPRM berhubung perintah larangan terhadap akaun berkenaan adalah bertentangan atau bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, peguam Nur Aifaa Mohd Zin, yang mewakili Hasanah ketika ditemui pemberita berkata kes saman berkenaan ditetapkan hari ini untuk pengurusan kes di dalam kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Idamasliza Maarof, yang kemudiannya menetapkan 17 Mei untuk pengurusan kes selanjutnya.

Prosiding itu turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad dan Muhamad Asyraf Md Kamal bertindak bagi pihak SPRM.

Pada 25 Oktober 2018, Hasanah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan.