Tarif air naik: Perak belum beri kata setuju

Ahmad Faizal Azumu
Ahmad Faizal Azumu
A
A
A
IPOH - Kerajaan Perak belum membuat sebarang persetujuan untuk menaikkan kadar tarif air.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perbincangan yang dibuat bersama Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Air Perak (LAP) semalam tidak membuat sebarang keputusan untuk menaikkan tarif air sama ada untuk keperluan domestik atau bukan domestik.

“Kita bersetuju untuk memastikan perkhidmatan pembekalan air yang lebih baik dan kelestarian syarikat beroperasi untuk jangka masa panjang.

“Tetapi apakah kita nak naikkan tarif untuk domestik atau hanya menaikkan tarif air kepada pengguna bukan domestik, atau tidak naikkan langsung kepada semua pengguna...itu kita belum buat keputusan lagi,” katanya kepada pemberita, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A Xavier Jayakumar di Dewan Rakyat, semalam berhubung persetujuan enam negeri menaikkan kadar tarif air, selaras dengan usaha kerajaan menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini.
Artikel Berkaitan:


Beliau bagaimanapun tidak menyatakan enam negeri tersebut.

Ahmad Faizal menegaskan, Perak tidak termasuk dalam senarai enam negeri berkenaan memandangkan tiada sebarang persetujuan dibuat sehingga hari ini.

“Pada masa sekarang, kita sedang memikirkan bagaimana untuk tidak membebankan rakyat dan perbincangan yang dibuat adalah lebih menjurus lebih kepada kaedah yang perlu dilakukan sekiranya ada keperluan untuk menaikkan tarif air,” katanya.