Mangsa kebakaran Uptown Shah Alam dapat premis baharu

Rodziah (berdiri, tujuh kanan) bersama peniaga terlibat menerima surat serah kunci premis baharu.
Rodziah (berdiri, tujuh kanan) bersama peniaga terlibat menerima surat serah kunci premis baharu.
A
A
A

SHAH ALAM - Sejumlah RM1.47 juta diperuntukan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bagi pembinaan semula premis perniagaan untuk 29 peniaga Uptown Shah Alam di sini yang terjejas dalam kejadian kebakaran pada 12 November tahun lalu.

Exco Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa & Kampung Tradisi Selangor, Rodziah Ismail, berkata, projek berkenaan kini sedia untuk beroperasi setelah pembaikan dibuat.

Menurutnya, tambahan kemudahan turut disediakan kepada peniaga terlibat bagi memberi keselesaan kepada mereka.

“Projek ini dapat dilaksanakan lebih cepat iaitu dalam masa empat bulan dan tapak telah diserahkan semula kepada peniaga.

“Penambahan beberapa kemudahan turut disediakan bagaimanapun sekiranya peniaga mahu membuat penambahan melibatkan elektrik dan sebagainya, perlu merujuk kepada pihak PKNS terlebih dahulu,” katanya ditemui selepas Majlis Penyerahan Tapak Niaga Kepada mangsa kebakaran PKNS Uptown Shah Alam di sini semalam.

Hadir sama, Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain.

Premis baharu yang dibangunkan PKNS.
Premis baharu yang dibangunkan PKNS.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengurus Komunikasi Korporat PKNS, Ishak Hashim berkata, dalam tempoh menunggu baik pulih berkenaan selesai sebelum ini, PKNS turut mendirikan khemah perniagaan sementara dengan kos RM160,000 kepada peniaga untuk tempoh enam bulan.

“Bagi meringankan beban penyewa terlibat, PKNS juga mengurangkan kadar sewaan bermula Disember 2018 kepada mereka sehingga kerja-kerja baik pulih selesai dilakukan sepenuhnya.

“Selain membina baharu premis yang musnah, PKNS turut baik pulih premis terjejas, membuat pendawaian baharu dan menyediakan sistem pencegahan kebakaran termasuk sistem siar raya serta lampu kecemasan,” katanya.

Dalam kejadian kebakaran pada 12 November tahun lalu, sebanyak 41 lot perniagaan terjejas, namun insiden terbabit tidak melibatkan kemalangan jiwa.