Tiada lagi gelak tawa keluarga...

V. Mohanadas (dua, kanan) menyampaikan faedah pengurusan jenazah sebanyak RM2,000 kepada Amirul (dua,kiri) ketika program kunjungan penyampaian faedah oleh Skuad Perkeso Prihatin daripada Perkeso Klang di Taman Rashna di sini tadi.
V. Mohanadas (dua, kanan) menyampaikan faedah pengurusan jenazah sebanyak RM2,000 kepada Amirul (dua,kiri) ketika program kunjungan penyampaian faedah oleh Skuad Perkeso Prihatin daripada Perkeso Klang di Taman Rashna di sini tadi.
A
A
A

KLANG - Ya ALLAH, keluarga aku, itu kata-kata yang hanya mampu diluahkan seorang pemuda tatkala menerima perkhabaran kemalangan yang menimpa ibu bapa dan adiknya serta dua sepupunya di Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu dekat Kampung Jeram Busu pada 28 Mac lalu.

Menceritakan kembali detik menyedihkan itu, Amirul Khairul Mohd Sajury, 20, berkata, ketika itu dia berada di tempat pengajiannya di Kaherah, Mesir.

"Saya menerima kemalangan melalui laman sosial Facebook, saya lihat ada kad pengenalan ibu dan adik yang dimuat naik, serta gambar kemalangan.

"Hati saya hanya ALLAH yang tahu ketika itu, saya lemah tidak berdaya, namun saya kuatkan diri, menghubungi sepupu di Malaysia, minta pengesahan mengenai kejadian tersebut," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, pada mulanya dirinya hanya menyangkakan ibu, adik dan dua sepupunya yang terlibat dalam kemalangan itu.

"Mula saya ingat ayah tak ikut sebab tiada kad pengenalan ayah, akhirnya diberitakan oleh saudara yang ayah juga terlibat sama.

"Saya memang tak fikir panjang, terus saya tempah tiket penerbangan dan bertolak pulang ke Malaysia keesokan harinya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika program kunjungan penyampaian faedah oleh Skuad Perkeso Prihatin daripada Perkeso Klang di Taman Rashna di sini tadi.

Artikel Berkaitan:

Hilang gelak tawa keluarga dalam sekelip mata, perasaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata, namun bagi pelajar tahun kedua Ijazah Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar ini, semua itu digagahi dengan doa kepada Maha Esa.

Menurutnya, kini rumah yang disewa keluarganya itu sepi dan tidak lagi kedengaran suara keluarga yang tercinta.

"Hanya kepada ALLAH saya berserah, saya mohon kepada ALLAH agar diberi kekuatan agar tabah menghadapi segala ujian ini.

"Buat masa ini saya bercuti belajar, dan kesempatan ini saya gunakan untuk menyelesaikan beberapa urusan, dan alhamdulillah, keluarga serta jiran banyak membantu dalam urusan saya ini," katanya.

Amirul (kiri) menunjukkan gambar ibu, ayah dan adiknya yang maut dalam kemalangan pada 28 Mac lalu di KM325 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu dekat Kampung Jeram Busu ketika dalam kunjungan Perkeso Klang di Taman Rashna di sini tadi.
Amirul (kiri) menunjukkan gambar ibu, ayah dan adiknya yang maut dalam kemalangan pada 28 Mac lalu di KM325 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu dekat Kampung Jeram Busu ketika dalam kunjungan Perkeso Klang di Taman Rashna di sini tadi.

Dalam pada itu, kunjungan Skuad Perkeso Prihatin Klang ini hadir menyampaikan faedah pengurusan jenazah sebanyak RM2,000 kepada Amirul.

Pengurus Perkeso Klang, V.Mohanadas berkata, sumbangan ini disampaikan melalui socso yang dicarum di bawah ibunya.

"Ibunya, Sobariah Haron tidak lagi bekerja sejak 2008, namun tempoh masanya bekerja melayakkan pewarisnya menerima faedah ini.

"Manakala untuk faedah lain, seperti Faedah Penakat, Perkeso akan menyelesaikan dalam secepat yang mungkin," katanya.

Turut hadir sama dalam program ini adalah Timbalan Pengurus Perkeso Klang, Mohd Redzuan Abu Jamil dan Ahli Skuad Perkeso Prihatin, Shahril Mohamed Salleh.

Terdahulu, 28 Mac lalu, sepasang suami isteri, anak dan dua anak saudara mereka maut selepas terbabit dalam kemalangan di KM325 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu dekat Kampung Jeram Busu di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi, kesemua mangsa menaiki kereta Proton Persona terbabas lalu bertembung dengan bas ekspres.

Mangsa yang terlibat adalah Mohd Sajury Abdullah,63, isteri, Sobariah Haron, 54, Muhammad Faezuan Nor Izuddin, 26, Nur Ilham Najwa Rahimi, 20 dan Uwais AlQurney Abdullah, 6.