SPRM jangan selektif buat tangkapan

Nazri (tengah) bersama ahli-ahli PKBS menghantar memorandum kedua berhubung kepincangan projek-projek SSM di Ibu Pejabat Putrajaya hari ini.
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diingatkan agar tidak membuat tangkapan secara selektif dalam kes berprofil tinggi.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Bersatu Selangor (PKBS), Nazri Abdullah berkata, umpamanya dalam kes tawaran dokumen sijil diakui sah (CTC) tanpa mengikut peraturan di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) baru-baru ini, seramai lima individu ditahan termasuk dua pegawai kanan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta pengarah syarikat teknologi maklumat (IT).

Beliau berkata, bagaimanapun selepas selesai proses reman pada Mac lalu, dua pegawai kanan terbabit dibebaskan dengan jaminan SPRM dan selepas itu, seolah-olah tiada tindakan lanjut dibuat.

"Kami ingin dapatkan kepastian dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), apakah tindakan tatatertib telah diambil terhadap pengurusan tertinggi dan pegawai-pegawai SSM yang terlibat?

"Adakah siasatan dilakukan juga melibatkan ketua pegawai eksekutif SSM kerana sebagai pemimpin bagi suruhanjaya penguatkuasaan yang dipandang tinggi oleh rakyat beliau harus dipertanggungjawabkan atas kepincangan yang berlaku dalam kes berkenaan," katanya yang turut memuji tindakan pantas SPRM dalam kes itu sehingga berjaya menangkap suspek terlibat.

Terdahulu, Nazri bersama enam ahli PKBS hadir ke Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini bagi menyerahkan memorandum kedua berhubung kepincangan projek-projek SSM.

Dalam perkembangan sama, Nazri turut mempersoalkan berkaitan kenyataan bercanggah antara SPRM dan SKMM berkenaan salinan sijil asal CTC daripada SSM.

"SPRM sebelum ini memaklumkan terdapat keraguan mengenai perkara itu.

"Susulan itu, SKMM dalam satu kenyataan media pada 26 Januari lalu menafikan perkara itu dan memberi jaminan perkhidmatan pihak berkuasa pemerakuan (PBP) yang memberikan perkhidmatan sedia ada kepada SSM di bawah seliaannya menggunakan sistem yang boleh dipercayai," katanya.

Nazri berkata, pihaknya berharap SPRM dapat memberi penjelasan terkini berhubung perkara tersebut.

"Kita nak tahu, siapa sebenarnya yang tidak ikut peraturan... SSM atau siapa?," katanya.

Pada 8 Januari lalu, PKBS menyerahkan memorandum kepada SPRM berhubung kepincangan projek-projek SSM yang diberikan secara terus kepada sebuah syarikat.

Hasil maklumat diperoleh PKBS mendapati terdapat bukti kukuh kemungkinanan wujud unsur salah guna kuasa berkaitan projek utama yang dimenangi sebuah syarikat.

SPRM kemudiannya menahan lima suspek yang mana dua pegawai kanan SSM didakwa bersubahat dengan dua syarikat IT bagi mendapatkan kelulusan menawarkan CTC tanpa mengikut peraturan di bawah SKMM, manakala tiga pengarah syarikat IT ditahan dipercayai mengaut keuntungan dengan melakukan perkhidmatan perisian tanpa mengikut peraturan SKMM.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia