Perbicaraan kes Mohd Isa Oktober ini

Mohd Isa Abdul Samad
Mohd Isa Abdul Samad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 7 Oktober depan untuk perbicaraan kes bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad,70, yang berdepan 10 pertuduhan pecah amanah dan menerima rasuah berhubung pembelian hotel di Kuching Sarawak.

Tarikh tersebut ditetapkan oleh Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada sebutan kali pertama kes berkenaan di Mahkamah Tinggi hari ini.

Mohd Nazlan menetapkan tarikh bermula 7 hingga 9 Oktober dan disambung pada 14 hingga 25 Oktober.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Allan Suman Pillai memaklumkan dokumen-dokumen yang akan digunakan sepanjang perbicaraan telah diserahkan kepada pihak-pihak berkaitan kecuali tiga set dokumen lagi yang akan diserahkan minggu ini.

"Dokumen-dokumen lain telah diserahkan kepada pasukan pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah. Bakinya akan diserahkan minggu ini," katanya.

Pada prosiding tersebut Mohd Isa yang diwakili peguam Ridha Abdah Subri mengekalkan pengakuan tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan semula.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Isa didakwa sebagai seorang Pengarah Syarikat Felda Investment Corporation Sdn Bhd yang diamanahkan dengan dana syarikat itu telah melakukan pecah amanah dengan meluluskan cadangan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suit di Kuching Sarawak dengan harga RM160 juta tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah Felda.

Perbuatan itu bertentangan dengan keputusan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Felda Bil 303 bertarikh 25 Jun 2013 yang dibuat berkenaan pelaksanaan amanah tersebut di mana ahli lembaga pengarah Felda memberi mandat kepada Ahli Lembaga Pengarah Syarikat FIC dalam membuat keputusan pelaburan yang melibatkan projek bernilai RM100 juta ke bawah.

Artikel Berkaitan:

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Bagi pertuduhan kedua hingga ke 10, Mohd Isa didakwa secara rasuah menerima suatu suapan untuk dirinya iaitu wang tunai yang kesemua berjumlah RM3.09 juta daripada Ikhwan Zaidel iaitu Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd melalui Muhammad Zahid Md Arip sebagai upah bagi membantu meluluskan pembelian hotel berkenaan.

Bagi kesalahan itu dakwaan dibuat mengikut Seksyen 16 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49 dan 50 Menara Felda Platinum Park, No 11 Persiaran KLCC di sini antara 29 April 2014 dan 11 Disember 2015.

Dalam pada itu, Allan memohon mahkamah mengekalkan jaminan berjumlah RM800,000 yang dikenakan ke atas Mohd Isa ketika kali pertama didakwa di Mahkamah Sesyen sebelum ini.

Ridha Abdah tdak mengemukakan sebarang bantahan terhadap jumlah tersebut.

Hakim Mohd Nazlan membenarkan Mohd Isa mengguna pakai jaminan terdahulu dan mengarahkan Mohd Isa menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sebutan kes itu ditetapkan pada 13 Mei ini.