Kenaikan tarif air dibuat ikut tahap pendapatan rakyat

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar. Foto: ZAHID IZZANI
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar. Foto: ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Negeri-negeri yang sudah bersetuju untuk meningkatkan tarif air akan menentukan kadar kenaikan mengikut tahap pendapatan rakyat.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, kaedah yang bakal digunakan bagi menentukan kadar tarif itu terbahagi kepada empat peringkat yang terdiri daripada pengguna domestik dan industri.

"Peringkat pertama ialah pengguna yang terdiri daripada mereka yang berpendapatan rendah dan negeri-negeri yang terlibat ini akan menentukan tarif yang bakal dikenakan.

"Ada negeri yang akan kenakan tarif bagi pengguna yang berpendapatan RM4,000 ke bawah dan ada yang akan kenakan RM5,000 ke bawah.

"Perkara ini kita akan bincang dengan semua pihak termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Nurul Izzah Anwar (PH-Pematang Pauh) mengenai kesan kenaikan tarif air terhadap pengguna.

Dalam pada itu, Xavier berkata, syarikat konsesi air perlu mengemukakan pelan perniagaan yang baharu supaya kerajaan dapat membuat kajian sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Kita mahu mekanisme penetapan tarif air ini diadakan kerana kita mahu memastikan supaya industri air di seluruh negara ini berada pada tahap terbaik dan syarikat konsesi perlu ada dana yang cukup untuk beroperasi 24 jam sehari, 365 hari setahun," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Xavier turut menjawab soalan daripada Chow Kon Yeow (PH-Tanjong) sama ada kementerian telah membawa cadangan mekanisme penetapan tarif air kepada Kabinet.

Jelas beliau, cadangan itu masih belum dikemukakan kepada Kabinet kerana proses perbincangan dengan negeri yang terlibat masih belum selesai.

"Seperti saya kata semalam (kelmarin) enam negeri sudah bersetuju tapi masih dalam peringkat perbincangan dan selepas semua selesai, kementerian akan bawa ke Kabinet untuk diluluskan dan dibawa kepada umum," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Enam negeri setuju naik kadar tarif air

Semalam Sinar Harian melaporkan, Xavier mengesahkan enam buah negeri sudah bersetuju untuk menaikkan tarif air dan perundingan berhubung perkara itu sedang dijalankan kerana kadar berkenaan tidak pernah disemak dalam tempoh 20 tahun.