Jangan percaya 'katak-katak' seperti ini: Ahmad Zahid

Ahmad Zahid ketika memberi ceramah malam tadi.
Ahmad Zahid ketika memberi ceramah malam tadi.
A
A
A

SEREMBAN - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menemplak calon PH, Dr S Streram yang dahulunya ahli MIC tetapi kini beralih kepada PKR.

Beliau berkata, sebagai ahli parti perlu ada pendirian yang teguh dan istiqamah.

"Kalau UMNO... UMNO. Kalau MIC... MIC. 'Katak-katak' seperti ini jangan percaya.

"Parti mana pun kita kena istiqamah. Kena tahanlah, kena kalah sikit, kena tuduh sikit. Apa takut, kebenaran itu akhirnya akan datang kepada kita," katanya ketika memberi ceramah pada program Ramah Mesra Bersama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Taman Angsamas malam tadi.

Istilah katak yang digunakan Ahmad Zahid merujuk kepada ketidaksetiaan ahli bersama parti dan memilih parti lain.

Sebelum itu dalam pentas ceramah yang sama, Naib Presiden MIC, Datuk C Sivarraajh mendedahkan Dr Streram dahulunya merupakan bekas Timbalan Ketua Bahagian MIC Petaling Jaya.

"Sebaik saja kalah di peringkat Bahagian, Dr Streram keluar MIC dan kemudiannya menyertai PKR.

"Di peringkat DUN ini, kita perlukan karakter yang boleh memperjuangkan masyarakat di Negeri Sembilan, yang boleh bersuara, bantah dan berjuang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Streram akan menentang calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan serta dua lagi calon Bebas iaitu R Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin.

PRK DUN Rantau diadakan berikutan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi DUN itu pada PRU14 terbatal dan tidak sah.

Mohamad diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi kerusi itu selepas Dr Streram dilarang memasuki pusat penamaan calon untuk menyerahkan borang pencalonannya kerana tertinggal pas calon.

Hari pengundian akan diadakan pada 13 April ini.