76 pekerja lombong bijih timah warga Bangladesh ditahan

Sebahagian pekerja asing warga Bangladesh yang ditahan dalam operasi bersepadu di Pengkalan Hulu, Selasa lalu.
A
A

IPOH - Sebuah tapak perlombongan bijih timah di Pengkalan Hulu diserbu Jabatan Imigresen Perak selepas dipercayai menggaji pekerja asing tanpa permit.

Operasi yang dijalankan selama empat jam bermula 12 malam, Selasa lepas, turut memeriksa sebuah kuarters guru dan dua lot banglo yang dijadikan penempatan pekerja berkenaan.

Pengarah Imigresen Perak, Kamalludin Ismail berkata, tapak perlombongan itu telah beroperasi sejak 49 tahun lalu.

"Siasatan yang kita jalankan mendapati majikan menggunakan khidmat pekerja asing tanpa pas yang sah.

"Manakala kuarters guru dan banglo dijadikan rumah sewaan kepada warga asing tersebut," katanya.

Menurutnya, seramai 76 lelaki warga Bangladesh berusia antara 39 hingga 50 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

"Ketika serbuan, ada cubaan untuk melarikan diri, namun tidak berjaya kerana kawasan telah dikepung.

"Pemeriksaan kita kemudiannya mendapati kesemua mereka tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah serta tinggal lebih masa," katanya.

Beliau berkata, dua lelaki tempatan berusia 42 dan 63 tahun dipercayai majikan kepada semua pekerja asing terbabit turut ditahan.

Katanya, kesemua mereka akan disiasat di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63.