Ini sebab deria bau dan rasa makin hilang

bau
bau
A
A
A

PADA amnya, keupayaan deria rasa dan deria bau merosot semasa proses penuaan.

Kebolehan merasa dengan lidah dan menghidu dengan hidung diperlukan untuk menikmati makanan.

Lidah hanya boleh merasa rasa asal seperti manis, pahit, masam dan masin.

Rasa yang kurang jelas dan kompleks memerlukan bantuan deria hidu.

Tanda dan gejala

Semasa proses penuaan, bilangan dan kepekaan deria rasa lidah berkurangan. Perubahan ini akan mengurangkan kemampuan warga emas untuk merasa terutamanya rasa manis dan masin.

Keupayaan menghidu juga merosot sedikit di kalangan warga emas. Bau yang kuat masih senang dikesan tetapi bau yang kurang kuat lebih susah dikenalpasti. Akibatnya, kebanyakan makanan akan berasa pahit atau tawar.

Deria bau juga terjejas disebabkan oleh urat saraf yang bertanggungjawab terhadap bau merosot semasa proses penuaan.

Artikel Berkaitan:

Di bahagian hidung, selaput mukosal yang melapisi saluran hidung menjadi lebih nipis dan kering. Ini boleh meningkatkan risiko pendarahan hidung dan menjejaskan deria bau.

Hidung berair dan mukus yang mengalir ke tekak menjadi lebih kerap disebabkan oleh perubahan pada saraf yang mengawal saluran darah di bahagian hidung.

Tulang rawan di bahagian hidung mungkin menjadi lemah dan menyebabkan hujung hidung kurang tajam. Perubahan kosmetik ini boleh mengakibatkan hidung kerap terasa tersumbat.

Warga emas kerap merasa mulut menjadi kering. Semasa proses penuaan, kurang air liur dihasilkan. Kekeringan mulut juga mungkin disebabkan oleh penyakit atau penggunaan ubat-ubatan tertentu. Kekeringan mulut juga akan mengurangkan keupayaan merasa dan menghidu bau makanan.

Semasa proses penuaan, otot-otot di sekitar lidah menjadi lemah, mengakibatkan proses pengunyahan menjadi kurang berkesan dan proses menelan menjadi berpanjangan. Perubahan ini boleh menyebabkan warga emas menghadapi risiko kekurangan zat makanan dan risiko makanan yang belum dikunyah termasuk ke dalam saluran pernafasan (aspiration).

Komplikasi

Perubahan-perubahan ini menyebabkan kehilangan deria rasa. Untuk mengatasinya, warga emas mungkin akan menambah lebih perasa termasuklah garam ke dalam makanan. Jika terlalu banyak garam digunakan, ia boleh mengakibatkan penyakit tertentu seperti penyakit tekanan darah tinggi.