NGO bergabung perangi dadah

A
A

PENAGIHAN dadah merupakan satu masalah besar di negara kita. Dadah bukan sahaja menyebabkan ketagihan tetapi turut merosakkan otak penagihnya sehingga mengganggu pemikiran dan mengakibatkan individu tersebut sukar untuk mengawal tingkah laku dan hilang kawalan diri.

Apabila sudah ketagih, akan wujud keinginan yang melampau untuk mengambil dadah secara berterusan dengan apa cara sekalipun. Ini akan mendatangkan kesan yang buruk kepada diri mereka dan masyarakat sekeliling.

Negeri yang mempunyai jumlah penagih dadah paling ramai di Malaysia ialah Pulau Pinang, dengan 5,081 penagih iaitu 16.47 peratus daripada keseluruhan jumlah penagih.

Kedah menduduki tempat kedua dengan 3,862 penagih diikuti Kelantan dengan seramai 3,223 penagih dan Selangor di tempat keempat dengan 3,176 penagih. Perak berada di tempat kelima dengan 2,639 penagih atau 8.56 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Tiada negeri yang bebas daripada najis dadah. Malah, boleh dikatakan hampir setiap kampung ada penagih dadah. Begitulah kroniknya penagihan dadah di Malaysia.

Menurut kajian Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pada 2016, majoriti penagih dadah adalah lelaki iaitu 96.16 peratus daripada keseluruhan penagih.

Hasil kajian tersebut juga menunjukkan 34.51 peratus daripada penagih dadah tidak mempunyai pekerjaan tetap manakala 16.96 peratus bekerja sebagai buruh am.

Walaupun pelbagai langkah dan inisiatif telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan, gejala penyalahgunaan dadah masih tidak berkurang malah semakin membimbangkan.Ini dibuktikan dengan statistik penguatkuasaan yang telah dijalankan sama ada oleh pihak PDRM mahupun AADK.

Statistik Jabatan Penjara juga menunjukkan sebanyak 56 peratus, iaitu 33,500 daripada 59,600 jumlah keseluruhan banduan di negara ini, adalah akibat kesalahan dadah.

Situasi ini turut memberi kesan kepada masyarakat dan pengurusan perbelanjaan negara. Kebanyakan kes jenayah seperti pecah rumah, kes ragut serta rompakan, melibatkan mereka yang terdesak untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah.

Berdasarkan statistik Jabatan Penjara juga, kos mengurus seorang banduan dadah adalah sebanyak RM35 seorang untuk sehari dan jumlah keseluruhannya RM1,182,685 sehari, bersamaan dengan RM35 juta sebulan atau RM425 juta setahun.

Ini belum termasuk kos untuk memulihkan mereka melalui Klinik Cure and Care (Pusat Rawatan dan Pemulihan) yang mampu menampung sehingga 7,000 penagih dadah pada satu masa.

Ketika ini, penempatan di 28 pusat pemulihan di seluruh negara sudah hampir penuh berikutan peningkatan jumlah penagih yang ditahan.

Kerajaan terpaksa membelanjakan ratusan juta ringgit setahun untuk menguruskan serta memulihkan penagih-penagih dadah.

Bayangkan jika negara kita bebas dadah; jumlah peruntukan tersebut boleh digunakan untuk membiayai pendidikan percuma bagi pelajar Malaysia tanpa perlu dibebankan dengan pinjaman PTPTN dan sebagainya.

Dalam hal ini juga, saya memuji usaha Dr Mohamad Hamzah yang merupakan Pengerusi Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) Kelantan dan Yadim kerana berjaya menggabungkan 67 NGO untuk memerangi masalah dadah ini.

Dr Mohamad juga telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Antidadah MAIM Kelantan yang dipengerusikan beliau sendiri. Walaupun sibuk sebagai doktor pakar perubatan, ini tidak menghalang niat murni dan harapan besar Dr Mohamad untuk melihat negara ini bebas daripada najis dadah.

Selain melibatkan NGO dan komuniti, Dr Mohamad juga bekerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) bagi melibatkan imam-imam masjid mukim agar mereka turut membantu usaha pencegahan dalam sesuatu lokaliti dan bagi meningkatkan penerimaan serta mengurangkan stigma negatif masyarakat terhadap penagih dadah.

Ini penting dalam membantu penagih dadah untuk kembali hidup seperti masyarakat biasa dan lebih dekat dengan agama dan masjid.

Pihak NGO juga boleh membantu meningkatkan peluang pekerjaan bagi bekas penagih dadah dengan bekerjasama rapat dengan para majikan sambil memantau dan memberi bimbingan yang berterusan kepada bekas penagih.

Penagihan dadah sememangnya salah satu masalah besar yang dihadapi oleh negara-negara di rantau ini. Ia semakin mengancam keselamatan rakyat dan membawa kepada pelbagai masalah sosioekonomi.

Kita semua perlu berganding bahu menyelesaikan masalah ini dan tidak hanya bergantung kepada kerajaan atau pihak-pihak tertentu sahaja.

Mulakanlah dengan pendidikan awal di rumah, pupuk kesedaran dan sikap tanggungjawab dalam diri dan ahli keluarga masing-masing. Kita pasti boleh sekiranya setiap individu memainkan peranan (Omit whichever part deemed necessary to reduce words.)

* Penulis Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.