RCI untuk TH, kenapa sekarang?

A
A
A

SEMINGGU selepas Tabung Haji (TH) mengumumkan dividen 1.25 peratus – terendah dalam sejarah – ada gesaan supaya agensi tersebut disiasat.

Bukan untuk mengetahui dividen terendah itu, tetapi siasatan menyeluruh mengenai dakwaan penyelewengan terhadap tabung tersebut ketika di bawah pentadbiran kerajaan lalu.

Pemuda UMNO mahu sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraya (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat apa sebenarnya yang terjadi kepada dana terbesar orang Islam itu selama ini.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mahu suruhanjaya itu memperinci apakah benar seperti yang didakwa bahawa TH di bawah BN telah menggunakan wang simpanan pendeposit untuk membayar hibah.

Apa yang dihasratkan oleh Pemuda UMNO itu adalah lanjutan daripada gesaan pemimpin tertinggi Pas dan UMNO pada Disember lalu supaya RCI ditubuhkan bagi menyiasat TH.

Tiba-tiba sahaja dua parti terbesar Melayu Islam itu seperti baru terjaga daripada lena yang panjang, dan beria-ia benar untuk mengetahui apa yang terjadi pada dana haji itu!

Seperti yang diberitahu Kerajaan Pakatan Harapan (PH), laporan audit bebas TH mendapati pengurusan lalu telah memanipulasi perakaunan dan membayar dividen menggunakan wang simpanan pendeposit. Ini satu penyelewengan.

Disebutkan juga bahawa kewangan agensi tersebut sebelum ini mengalami defisit sehingga RM4.1 bilion.

Artikel Berkaitan:

Sebenarnya sejak dulu lagi ada yang tidak kena dengan tabungan orang Islam ini. Meskipun setiap tahun pendeposit tersenyum menerima hibah tinggi, sesuatu yang tidak betul telah berlaku.

Apa yang tidak betul itu bukan disedari hanya setelah PH mengambil alih Putrajaya daripada kerajaan kleptokrasi.

Semua orang tahu Bank Negara pernah menegur pihak pengurusan TH sebelum ini mengenai keadaan kewangan dan pembayaran dividen.

Bank pusat itu telah mengesan penyelewengan, tetapi pentadbiran lalu tidak menghiraukan amaran, terus menawarkan hibah lumayan hanya untuk meraih populariti politik.

Sebenarnya kalau pun tidak ditegur oleh mereka yang prihatin di BNM, umum telah lama mengetahui sekian banyak penyalahgunaan kuasa yang mengakibatkan RM ratusan juta duit TH diselewengkan.

Beberapa bekas pegawai tertinggi agensi tersebut telah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelewengan dan kini menunggu untuk dibicarakan.

Ketika TH – dulu asalnya Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH) – ditubuhkan 56 tahun dulu matlamat asalnya amat murni, iaitu untuk mengutip dana bagi umat Islam menunaikan fardu haji.

Orang Islam, termasuk pekebun kecil, penoreh getah, nelayan dan penjual nasi lemak, menabung secara kecil-kecilan di TH, meninggalkan tradisi lama menyimpan wang di bawah bantal.

Petani dan nelayan tidak berhasrat pun untuk mendapat laba yang tinggi daripada simpanan serendah RM10 sebulan. Mereka betul-betul mahu menunaikan Rukun Islam yang kelima.

Hasil usaha orang kampung inilah yang diuruskan oleh mereka yang betul-betul ikhlas untuk membantu ummah ke Makkah, sehingga akhirnya TH muncul sebagai salah satu dana terbesar dengan jumlah pendeposit 9.3 juta orang.

Adalah sesuatu yang amat malang, ketika dana berkembang dengan aset bernilai RM berbilion, ada sahaja pihak mengambil kesempatan songlap duit TH.

Meletakkan mereka yang tidak layak – dan tidak amanah! – menguruskan TH terbukti telah menyasarkan agensi tersebut jauh daripada matlamat asal penubuhannya. Malah ada pihak pengurusan yang untuk beberapa ketika menjadikan dana orang kampung itu untuk membuncitkan perut sendiri, secara haram.

Tubuh RCI? Mungkin satu cadangan yang baik, tetapi bukan penyelesaian terbaik. Kita sudah menubuhkan banyak RCI sebelum ini, tetapi ternyata hasilnya tidak memuaskan hati semua pihak.

Dr Asyraf ingin melihat sesuatu segera dilakukan untuk membetulkan keadaan. Dia – juga UMNO secara keseluruhan – ingin menjadi wira untuk melihat skandal TH terbongkar.

Tetapi dia akan lebih dianggap wira sebenar sekiranya menggesa ditubuhkan RCI ketika penyelewengan mula dikesan oleh BNM semasa kerajaan BN dulu!

* Datuk Abd Jalil Ali ialah Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian