Pilihan raya umum India bermula hari ini

Perdana Menteri Narendra Modi daripada parti BJP (kiri) berdepan saingan hebat Presiden parti Kongres Kebangsaan India (INC) Rahul Ghandi dalam pilihan raya tujuh pusingan di India. - Foto AFP
Perdana Menteri Narendra Modi daripada parti BJP (kiri) berdepan saingan hebat Presiden parti Kongres Kebangsaan India (INC) Rahul Ghandi dalam pilihan raya tujuh pusingan di India. - Foto AFP
A
A
A

NEW DELHI - INDIA . Pilihan raya umum India yang juga terbesar dalam sejarah bermula hari ini dan dijadual berlangsung selama hampir enam minggu sehingga 19 Mei depan.

Melibatkan 900 juta pengundi di seluruh negara, pilihan raya tersebut akan dijalankan dalam tujuh peringkat dan keputusan rasmi dijangka hanya akan diketahui pada 23 Mei.

Undian pusingan pertama hari ini bakal menyaksikan sejumlah 142 juta pengundi dari negeri Andhra Pradesh, Arunachal Pradesh, Assam, Bihar, Chhattisgarh, Jammu dan Kashmir, Maharashtra, Manipur, Meghalaya, Mizoram, Nagaland, Odisha, Sikkim, Telangana, Tripura, Uttar Pradesh, Uttarakhand, Bengal Barat, Andaman, Nicobar dan Lakshadweep keluar membuang undi bagi memilih calon pilihan masing-masing.

Pengundi akan memilih 543 ahli dewan rendah Parlimen, atau lebih dikenali sebagai Lok Sabha dan sebarang parti atau pakatan memerlukan minimum 272 kerusi untuk membentuk barisan kerajaan baharu bagi tempoh lima tahun akan datang.

Dalam pada itu, undian pendapat meletakkan Perdana Menteri Narendra Modi daripada parti Bharatiya Janata (BJP) sebagai pilihan utama memenangi pilihan raya kali ini, namun beliau dijangka ditentang hebat Presiden parti Kongres Kebangsaan India (INC) Rahul Ghandi.

Modi, 68, mula memegang kuasa di India apabila partinya memenangi pilihan raya umum pada 2014 dengan kemenangan majoriti mutlak buat pertama kali dalam tempoh 30 tahun.

Namun pengkritik mendakwa, janji Modi untuk memacu ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan di negara yang mempunyai 1.3 bilion penduduk itu masih belum terlaksana dan kuasa ekonomi ke-enam terbesar dunia itu dilihat semakin kehilangan momentum.

Sementara itu, Gandhi, 48, daripada keluarga Nehru-Gandhi yang mencipta nama dalam dunia politik India sejak ia mencapai kemerdekaan pada 1947 berhasrat meneruskan legasi keluarganya dan menjadi perdana menteri dengan bantuan kakaknya, Priyanka Ghandi.

Artikel Berkaitan:

Moyang lelaki Ghandi, Jawaharlal Nehru merupakan perdana menteri pertama India yang berkhidmat selama 17 tahun, neneknya Indira Gandhi pula ialah perdana menteri wanita pertama sementara bapanya Rajiv Gandhi dilantik menjadi perdana menteri termuda India dari tahun 1984-1989.

Menjadikan golongan miskin di luar bandar sebagai sasaran, parti BJP menjanjikan pelan kebajikan baharu buat petani sementara parti INC menjanjikan skim pendapatan minimum untuk hampir 50 juta keluarga termiskin di negara itu.

Parti BJP turut menjadikan keselamatan negara sebagai antara isu penting dalam kempen pilihan rayanya ekoran serangan berani mati kumpulan militan berpangkalan di Pakistan yang membunuh 40 polis paramilitari di bahagian Kashmir yang ditadbir India pada Februari lalu.

Pilhan raya umum India yang pertama pada 1951 mengambil masa tiga bulan untuk selesai manakala antara tahun 1962 hingga 1989 pilihan raya tamat dalam masa empat ke 10 hari. - Agensi