Himpunan anti-ICERD menangkan Israel

A
A

BAYANGKAN kalau Melayu Muslim, bukan Amerika atau China atau Israel, merupakan kuasa politik terkuat di dunia, adakah Melayu Muslim akan meratifikasikan ICERD yang menentang sebarang diskriminasi bangsa?

Sudah pasti Melayu Muslim bukan sekadar menyokong ICERD. Bahkan mempromosikan ICERD ke seluruh dunia. Melayu Muslim ini tidak akan mempromosikan Ketuanan Melayu kerana sebagai polis global, mereka tahu mereka wajib berlaku adil kepada semua bangsa dan memberi contoh terbaik kepada dunia.

Bagaimana mungkin mereka bercakap mengenai ketuanan Melayu kalau menentang ketuanan Myanmar yang menzalimi Rohingya, ketuanan India Hindu di India yang menzalimi India Muslim, ketuanan Yahudi yang menzalimi rakyat Palestin, ketuanan Cina yang menzalimi bangsa Uyghur di China?

Sebagai polis dunia, mereka tidak boleh memperjuangkan ketuanan bangsanya sendiri. Kalau memperjuangkan ketuanan bangsanya sendiri, sudah tentu mereka tidak akan dihormati dan diiktiraf sebagai polis keamanan dunia. Polis dunia akan membawa akhlak Rahmah Lil-Aalamiin yang memperjuangkan hak-hak asasi kemanusiaan sejagat tanpa diskriminasi bangsa.

Inilah mindset polis dunia atau khalifah dunia yang meratifikasikan ICERD. Bagaimana pula dengan mindset yang dijajah?

Mindset yang dijajah, walaupun sudah mencapai kemerdekaan (khususnya yang tidak mampu bersaing dengan kuasa-kuasa besar dunia), hanya mampu menjaga periuk nasinya sendiri dalam kawasan kecil yang diwarisi turun-temurun daripada nenek-moyang.

Ini adalah seperti mindset kabilah primitif yang telah mendiami satu kawasan berkurun-kurun lamanya. Baginya, mereka adalah tuan kawasan warisan yang kecil ini kerana mereka mewarisi amanah untuk menjaga kawasan ini sahaja.

Ia adalah seperti kabilah Qurasyh zaman jahiliah di mana mereka hanya mempertahankan ketuanannya di tanah Makkah yang diwarisi turun-temurun.

Mereka tidak mempunyai visi untuk meluaskan penjajahan kepada kawasan-kawasan lain seperti Yatrib, Iraq, Mesir, Palestine dan lain-lain.

Kabilah Qurasyh zaman jahiliah ini tidak mempunyai visi untuk meratifikasikan ICERD kerana mereka hanya mampu menjaga maslahat kabilahnya sahaja. Mereka berpegang kepada prinsip ketuanan Qurasyh di Makkah yang diwarisi turun-temurun supaya ahli-ahli kabilahnya terus mempertahankan ketuanan Qurasyh di Makkah dan membiarkan Empayar Kristian Roma terus menjajah Palestin dan Mesir, dan empayar Parsi terus menjajah Iraq.

Bayangkan kalau visi Nabi SAW hanya memperjuangkan ketuanan Qurasyh di Makkah, adakah ahli Madinah akan menyokong Baginda? Adakah umat Islam akan menakluki Mesir, Palestin, Iraq dan lain-lain? Nabi SAW mahu umat Islam bervisi menjadi khalifah di bumi, dan bukan mempertahankan ketuanan Qurasyh di Makkah. Risalah Baginda untuk dunia, bukan sekadar untuk satu kabilah.

Maka setelah menerima Islam, Bani Qurasyh buat kali pertamanya mengetepikan ketuanan Qurasyh di Makkah untuk memperjuangkan Khilafah Qurasyh di muka bumi, lalu terbinalah ibu kota-ibu kota khilafah yang terletak di luar tanah Makkah iaitu di tanah-tanah bangsa bukan Arab seperti Damaskus, Baghdad dan Andalusia.

Mindset Qurasyh telah berhijrah daripada ketuanan kepada khilafah, daripada perkauman atau kabilah kepada ummah, daripada yang dijajah kepada penjajah, daripada mindset jaguh kampung ke mindset jaguh dunia.

Perhimpunan 8 Disember anti-ICERD adalah berpijak pada mindset jaguh kampung iaitu seperti mindset ketuanan Qurasyh di Makkah pada zaman jahiliah. Paling mampu mindset jaguh kampung ini lakukan ialah berdemonstrasi, lafaz manifesto dan pijak bendera Israel.

Ia tidak mampu kurangkan sedikit pun kuasa Israel kerana ia hanya bersifat defensif pada ketuanan Melayu ke atas tanah Melayu, bukan melahirkan khilafah Melayu ke atas bumi.

Mindset jaguh kampung ini sudah pasti menangkan ketuanan Yahudi yang menjadikan Jerusalem sebagai pusat penjajahan dunia. Israel dengan rakyat hanya seramai 8 juta telah meratifikasikan ICERD untuk memperkasakan mindset rakyatnya ke arah penjajahan dunia secara total.

Demo 8 Disember adalah satu pengakuan beramai-ramai bahawa bangsa Malaysia yang berjumlah 30 juta tidak mampu bersaing dengan 8 juta rakyat Israel dalam gelanggang yang sama iaitu ICERD.

Maka, terpaksalah berpuas hati dengan hanya sekadar memperjuangkan ketuanan kabilah di tanah warisan. Israel dimenangkan lagi oleh musuhnya pada 8 Disember 2018.

* Abdul Naser Tun Rahman Tokoh Pendakwah Perak


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.