Umat Islam perlu tangkis 'permainan' musuh-musuh Islam

Wacana Sinar Harian Kali Ke-101 membincangkan tajuk Benarkah Islam dibenci? - Foto Sinar Harian Asril Aswandi
Wacana Sinar Harian Kali Ke-101 membincangkan tajuk Benarkah Islam dibenci? - Foto Sinar Harian Asril Aswandi
A
A
A

MUKADIMAH: Islam sering dimomokkan sebagai agama ganas dan zalim, namun dakwaan itu tidak pernah dibuktikan.

Apa yang menyedihkan momokan itu telah mempengaruhi masyarakat dunia hinggakan ada segelintir individu fanatik menghukum Islam dengan cara yang zalim dan dahsyat seperti yang terjadi di New Zealand baru-baru ini.

Bagi menyingkap persepsi itu Wacana Sinar Harian Kali Ke-101 membincangkan tajuk Benarkah Islam dibenci? yang menampilkan Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Wan Kamal Mujani, Profesor Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Kamarulnizam Abdullah dan Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman.

SHAH ALAM - Profesor Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Kamarulnizam Abdullah berkata, sifat ketakutan dan kebencian terhadap Islam masih lagi terkawal di peringkat global.

Bagaimanapun, katanya, umat Islam sebenarnya perlu bertanggungjawab dan memainkan peranan terhadap perasaan Islamophobia yang dirasai oleh orang bukan Islam di luar.

Menurutnya, sebagai masyarakat Islam, beliau melihat masih kurang usaha untuk memperbaiki persepsi negatif masyarakat luar tentang Islam.

"Seharusnya perlu tangkis tuduhan negatif terhadap Islam dengan memperjuangkan agama dengan menggambarkan Islam itu indah.

"Itu yang berlaku pada hari ini. Sebagai contoh apa yang berlaku di Christchurch, New Zealand seolah-olah umat Islam didiskriminasikan kumpulan itu," katanya pada Wacana Sinar Harian kali ke-101 yang bertajuk Benarkah Islam dibenci? di Dewan Karangkraf di sini, semalam.

Artikel Berkaitan:

Mohd Kamarulnizam berkata, beliau kesal dengan 'permainan' musuh-musuh Islam yang seolah-olah menggangap umat Islam ini adalah pengganas.

"Saya juga lihat umat Islam tidak bersatu dengan membiarkan isu keganasan itu diselongkar oleh barat, seolah-olah kita yang menjadi pengganas.

"Kita tidak mahu bersatu untuk memperbetulkan keadaan dan kita lihat kebanyakan negara Islam juga bergaduh antara satu sama lain," katanya.

Selain itu, Mohd Kamarulnizam turut mengajak semua umat Islam memperkuatkan institusi kekeluargaan dan masyarakat.

Katanya, negara berdepan dengan krisis insititusi keluarga dan masyarakat. Jadi perlu memahami apakah masalah yang dihadapi oleh generasi akan datang.

"Apa yang penting jangan ambil sikap sambil lewa untuk mendidik golongan ini kerana mereka sebenarnya tercari-cari sumber ilmu.

"Insitusi kekeluargaan antara fokus utama yang perlu dilihat bagi mengelakkan berlakunya sikap kebencian terhadap Islam," katanya.

Peranan keluarga, masyarakat penting

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman berpendapat kebanyakan individu daripada pelbagai kaum di Malaysia sudah mendapat pendidikan agama dan diterapkan semangat perpaduan sejak zaman sekolah.

Lantaran itu katanya, beliau berpendapat, isu Islamphobia tidak begitu dirasai di Malaysia kerana semangat perpaduan yang diterapkan sejak bangku sekolah telah memberi impak agar kita tidak saling membenci.

"Malah setiap hari terdapat program perpaduan dipaparkan melalui media termasuk televisyen bagaimana sesuatu perayaan diraikan bersama.

"Bagaimanapun apa yang dibimbangkan adalah sekiranya golongan ini keluar daripada kelompok pemikiran di Malaysia dan berhijrah ke negara-negara yang bukan 'ciptaan' Malaysia sehingga mengundang mereka bersifat radikal dan tidak mempunyai pegangan agama," katanya.

Ismail berkata, isu itu sebenarnya perlu dibawa ke peringkat meluas bagi memberi pendedahan terhadap isu keganasan Islamophobia.

"Jika terdapat pelan strategi itulah, risiko yang berlaku dapat ditangani dan tidak merebak sehingga menjejaskan keamanan negara.

"Apa yang dibincangkan ini juga perlu dimaklumkan kepada semua pihak termasuk pelbagai peringkat jabatan dengan meningkatkan penguatkuasaan supaya dapat mencegah berlakunya Islamophobia di Malaysia," katanya.

Malaysia jadi tempat rujukan

Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Wan Kamal Mujani berkata, jika dibandingkan dengan negara Islam lain, ternyata Malaysia jauh kehadapan terutamanya dari aspek pembangunan ekonomi, pendidikan dan tatakelola pentadbiran.

Malah katanya, Malaysia sentiasa menjadi tempat rujukan negara Islam lain kerana prestasi negara dalam bidang berkenaan yang lebih maju dan unggul.

"Pengalaman saya sewaktu berada di luar negara, saya melihat Islam yang ada dalam negara kita dari segi aspek pentadbiran, pendidikan, ekonomi dan sosial, jika dibandingkan dengan negara-negara Arab, Malaysia jauh ke hadapan.

"Sebagai contoh dalam perkara pengelolaan perbankan, meskipun kita bukan negara Arab tetapi kemajuan yang telah kita capai sekarang ini yang saya lihat sangat membanggakan, misalnya orang Turki mahu belajar perbankan kita," katanya.

Malah katanya, sebagai contoh lain dalam sektor pendidikan katanya, nama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sering disebut dan dijadikan contoh oleh negara Islam lain.

"Pergilah ke mana dunia ini saya rasa tiada negara yang tidak mengenali UIAM, sangat terkenal kerana digagaskan oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), ini cuba dibina oleh tokoh negara Islam tetapi mereka tidak dapat membina reputasi yang hebat sepertinya," katanya.

Wan Kamal turut berpandangan, Islam diramalkan akan mempunyai jumlah penganut paling ramai di dunia menjelang tahun 2070.

Malah jelasnya, Islam merupakan satu-satunya agama yang sedang berkembang lebih pesat berbanding bilangan penduduk di dunia ini.

"Penduduk dunia meliputi 10 bilion di mana penganut Kristian dalam 32 peratus, sementara Islam 23 peratus.

"Jumlah ini sebenarnya menurut kajian di London anggaran pada tahun 2050 -2060 mungkin sama ( bilangan penganut), dan pada 2070 umat Islam akan melebihi penganut Kristian," katanya.

Sementara itu mengulas sama ada Islam dibenci dan ditakuti, Wan Kamal menegaskan bahawa jika disoroti sejarah keadaan itu sama sekali tidak berlaku.

"Berdasarkan data dan fakta kita tidak lihat keadaan sebegitu," katanya.

Katanya, dalam isu ini ia dilihat banyak bergantung kepada mainan media.

"Kita lihat sejak perkembangan awal Islam ia tidak musuhi agama lain," tegasnya.