Sampah terbang runsingkan penduduk

Penduduk di PPR Lembah Subang resah isu pembuangan sampah dari tingkat atas oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Penduduk di PPR Lembah Subang resah isu pembuangan sampah dari tingkat atas oleh pihak tidak bertanggungjawab.
A
A
A

PETALING JAYA - Bagaikan tiada penyudah. Itulah kata-kata yang dapat digambarkan berhubung situasi yang dihadapi oleh penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang yang berdepan isu pembuangan sampah dan pelbagai objek dari tingkat atas kediaman terbabit.

Walaupun beberapa kes kecederaan pernah dilaporkan sebelum ini, isu tersebut masih berlaku sehingga mengundang keresahan masyarakat setempat.

Lebih membimbangkan, selain sampah, terdapat juga objek berat seperti alat pemadam kebakaran dan bongkah kayu turut dicampak dari tingkat atas blok berkenaan.

Menurut bilal Surau Al Insaniah di sini, Karim Bahari, 49, tahap kesedaran sebilangan penghuni PPR berkenaan masih berada pada tahap rendah berikutan terdapat ada di antara mereka yang mengamalkan tabiat buruk itu.

"Pernah beberapa kes berlaku sebelum ini namun ia seperti tiada penyudah. Ada di antara penduduk masih belum serik dan mengamalkan tabiat buruk dengan mencampak sampah dan objek keras dari tingkat atas PPR ini," katanya kepada Sinar Harian.

Antara sampah yang dibuang dari tingkat atas blok E PPR Lembah Subang.
Antara sampah yang dibuang dari tingkat atas blok E PPR Lembah Subang.

Mengulas lanjut, Karim berkata sebelum ini terdapat penduduk mengalami kecederaan di bahagian kepala ekoran terkena bongkah kayu keras yang dicampak dari atas blok kediaman terbabit.

Selain itu, dia berkata terdapat juga kenderaan penduduk yang turut terjejas dan rosak ekoran terkena objek yang dibuang tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Keadaan ini menyebabkan penduduk terpaksa berdepan kerugian bagi membaik pulih semula kenderaan mereka ekoran tindakan tidak bertamadun ini," katanya.

Sementara itu, seorang pengawal keselamatan di sini, Pudziah Ahmad, 50, berkata, walaupun PPR berkenaan dibersihkan pada setiap hari, namun tindakan segelintir penghuni yang pengotor telah menyebabkan kawasan itu kembali tercemar hanya dalam tempoh 30 minit.

Pudziah berkata, pengawal keselamatan yang melakukan rondaan juga terpaksa menggunakan laluan yang terlindung dan berbumbung bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

Antara kenderaan penduduk yang terkena sisa sampah yang dibuang sebelum ini.
Antara kenderaan penduduk yang terkena sisa sampah yang dibuang sebelum ini.

"Kami yang berkawal juga risau kerana jika ada pembuangan dari tingkat atas, sudah pasti ia akan mengancam keselamatan dan mengundang risiko bahaya," katanya.

Tambah Pudziah, walaupun berlaku banyak kes pembuangan objek dan sampah dari tingkat atas PPR berkenaan, namun pihak keselamatan berdepan kesukaran untuk mengenal pasti individu yang bertanggungjawab melakukan tabiat buruk itu.

"Bukan mudah untuk kami kesan pihak bertanggungjawab ini kerana kami memerlukan bukti yang kukuh. Tambah pula tidak akan ada orang yang mengaku melakukan tabiat buruk tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Blok E PPR Lembah Subang, Mohd Azmi Yaacob berkata, isu pembuangan objek dan sampah dari tingkat atas bukan merupakan perkara baharu memandangkan penduduk di kawasan berkenaan seringkali diancam risiko bahaya.

Menurut Mohd Azmi, kereta miliknya juga pernah terkena sisa sampah yang dibuang dari tingkat atas sehingga menyebabkan berlakunya kerosakan pada cermin kenderaannya.

"Mujur waktu itu saya tidak memandu, kalau tak mesti kenderaan akan terbabas kerana terkejut," katanya.

Berikutan itu, Mohd Azmi menggesa agar penduduk setempat dapat bekerjasama bagi mengenalpasti pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan tabiat tersebut.

"Dalam hal ini, semua pihak kena bekerjasama bagi memberi kesedaran kepada pihak terlibat.

"Dan jika boleh, individu bertanggungjawab juga perlu dikenakan tindakan setimpal kerana perkara ini mengundang risiko yang amat bahaya," katanya.