Ahli Lembaga Pengarah lama buat keputusan silap hingga jejaskan TH

Mujahid
Mujahid
A
A
A

MUKADIMAH: Pengumuman hibah Tabung Haji (TH) sebanyak 1.25 peratus baru-baru menerima pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai terutama pendeposit. Kadar tersebut adalah paling rendah dalam sejarah TH sehingga menyebabkan ia dipolitikkan dengan menyalahkan kerajaan PH. Bagi mendapat penjelasan lanjut, wartawan Sinar Harian, JANATUL FIRDAUS YAACOB menemu ramah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF berhubung isu berkenaan. Apakah langkah-langkah kerajaan untuk memulihkan semula Tabung Haji. Ikuti sambungan wawancara dalam Sinar Harian.

Boleh Datuk Seri jelaskan punca salah laku dalam Tabung Haji?

MUJAHID: Kami ambil alih pada bulan Jun 2018 di mana kita telah melantik PricewaterhouseCoopers (PwC), badan penyiasat bebas. Sebab kita tidak mahu ada apa-apa kepentingan di situ. Takut kami berat sebelah dan sebagainya.

Bersandarkan kepada maklumat PwC, didapati beberapa perkara iaitu pertama, salah lapor dari sudut kewangan. Ia tidak menunjukkan kewangan yang tepat. Ada perkara-perkara yang disembunyikan. Ada perkara-perkara yang tidak mengikut standard piawaian. Itu kita kata satu penyelewengan salah lapor.

Maksudnya semua masalah ini berpunca daripada salah laku dalam pengurusan Tabung Haji terdahulu?

MUJAHID: Penyelewengan ini saya bagi contoh, iaitu salah lapor contohnya, dasar rosot nilai, apabila sesuatu saham itu kalau sudah rosot nilai sebanyak 20 peratus, dia kena masuk (rekod) rugi dan itu ditetapkan oleh Malaysian Financial Reporting Standards, tetapi apa yang mereka lakukan dalam kewangan 2017 itu, ialah mereka tidak memaklumkan tentang rosot nilai ini. Mula-mula mereka letak 70 peratus. Selepas itu letak 80 peratus. Selepas itu tukar 90 peratus dan mereka tidak rekod sebagai rugi. Sebab mereka letak ambang threshold. Sedangkan 20 peratus sudah rugi. Sepatutnya ia tidak boleh masuk dalam untung. Ini adalah satu penyelewengan.

Kedua, ialah manipulasi untung. Dia jual saham Bank Islam, lepas itu beli lain, dengan rekod keuntungan. Itu tidak betul. Kalau hendak tengok untung, dia perlu tengok dalam tempoh setahun. Bukan masa anda hendak buat laporan itu anda nak tunjuk anda jual, lepas itu beli balik dan rekodkan sebagai untung.

Adakah hibah yang mereka umumkan sebelum ini guna duit pendeposit?

Artikel Berkaitan:

MUJAHID: Bila dia tidak layak keluarkan hibah sebanyak, sebagai contoh tahun lalu sebanyak 6.25 peratus yang memakan belanja sebanyak RM2.7 bilion, sedangkan TH tidak ada duit sebenarnya. Saya bagi satu lagi penyelewengan, anak-anak syarikat TH dimaklumkan telah mencatatkan untung tetapi sebenarnya ia hanya ditulis atas kertas sahaja, duit tidak dapat pun. Itu telah didedahkan oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tan Sri Ismee Ismail.

Beliau umumkan untung tetapi tiada keuntungan dalam laporan. Lepas itu rosot nilai, tetapi direkodkan sebagai untung sedangkan TH rugi, atas kertas memang cantik tetapi duit tiada. Itu persoalannya. Apabila duit tiada, mana mereka dapat duit itu? Mana dia dapat duit dia membayar hibah 6.25 itu? Di sinilah satu lagi penemuan daripada PwC. Mereka mendapati TH mengambil duit daripada pendeposit.

No Image Caption

Adakah situasi ini membuktikan pengurusan Tabung Haji dulu memanipulasi data yang direkodkan?

MUJAHID: Semua ini berlaku pada pimpinan dahulu. Maknanya ahli lembaga pengarah Tabung Haji buat keputusan tersebut, mereka mesti tahu keadaan sebenar. Tetapi mereka manipulasi, tapi mereka (Ahli Lembaga Pengarah TH) kena bagi tahu menteri sebab menteri yang akan luluskan hibah yang besar.

Bermakna menteri pun tahu. Semua mereka tahu perkara ini tidak betul tetapi kerana nak bagi rakyat seronok, dia bagi juga walaupun berdepan risiko kewangan yang membahayakan Tabung Haji. Sebab itu adanya Seksyen 22(3)(a) Akta Lembaga Tabung Haji 1995 yang menetapkan dua perkara yang boleh kita buat hibah.

Satu kita kena untung, mesti ada untung dan kedua aset tidak boleh rendah daripada tanggungan. Dua perkara ini mesti dipenuhi baru boleh keluar hibah. Dalam keadaan sejak 2014 hingga 2015, aset semakin kurang berbanding dengan tanggungan. Tetapi mereka masih keluarkan hibah, langgar akta sendiri. Itu penyelewengan namanya.

Apabila hibah 2018 diumumkan hanya 1.25 peratus kenapa BN cuba salahkan Datuk Seri dan PH?

MUJAHID: Ini adalah sebab politik, perkara inilah yang kita kesal. Isu TH mana boleh dipolitikkan. Ini adalah hal umat Islam. Seramai 9.7 juta pendeposit semua orang Islam, tiada yang bukan Islam. Tujuan penubuhan TH ini amat murni iaitu nak bagi orang kampung pergi haji.

Supaya mereka boleh menabung dan pada waktu sama memberikan kepercayaan dengan duit yang disimpan itu untuk dilabur. Kalau dapat untung maka diagih secara bersama dengan syarat mematuhi Akta Tabung Haji, Seksyen 22. Tetapi apa yang berlaku, yang dikatakan seolah-olah mereka tidak tahu benda ini, kononnya kita (PH) yang salah, itu satu sifat ‘double standard’.

Ini kerana pada 2015, Bank Negara melalui Gabenor Bank Negara ketika itu, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz telah memberi amaran melalui surat kepada Datuk Seri Abdul Azeez Rahim. Maknanya, pengurusan TH tahu tak boleh keluar hibah, tetapi mereka keluarkan juga hibah kerana aset tidak boleh rendah daripada tanggungan.

Bila keluarkan juga hibah, aset semakin kurang, tanggungan deposit tinggi, kalau jadi apa-apa, dia tidak boleh tampung dan ia membahayakan kerajaan sebab kerajaan yang akan tanggung.

Dalam akta juga menunjukkan jika berlaku apa-apa krisis, ia adalah tanggungan kerajaan. Dia (Azeez) membahayakan kerajaan dan ia membahayakan kebajikan umat Islam, dan dia tidak dengar nasihat daripada Gabenor Bank Negara yang sudah nampak situasi dan keadaan itu.

***Ikuti sambungan wawancara bersama Datuk Seri Dr Mujahid esok berkaitan apakah langkah-langkah kerajaan untuk memulihkan semula Tabung Haji.