X

Kindly register in order to view this article
!

MA63 bukti komitmen PH penuhi janji Sabah, Sarawak

A
A

KUALA LUMPUR - Selepas berusaha memenuhi janjinya kepada Sabah dan Sarawak dengan membentang Rang Undang-undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2019 di Dewan Rakyat semalam, namun kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak menerima sokongan mencukupi daripada Anggota Parlimen termasuk dari kedua-dua negeri itu.

Janji itu, yang termaktub dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 PH, bertujuan mengembalikan status Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam perjanjian pembentukan Malaysia pada 1963, seperti yang dituntut para pemimpin kedua-dua negeri itu sejak dari pemerintahan kerajaan sebelum ini.

Semasa membentangkan rang undang-undang itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ia adalah usaha kerajaan untuk mengembalikan status negeri-negeri Borneo Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu negeri-negeri Tanah Melayu (kini Semenanjung) seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pembentangan itu adalah yang kedua selepas dibentangkan kali pertama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong pada 4 April lepas.

Memenuhi kehendak Sabah, Sarawak

Dr Mahathir menjelaskan pindaan Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan yang dicadangkan adalah langkah pertama kerajaan Pakatan Harapan dalam merealisasikan kehendak rakyat Sabah dan Sarawak selaras dengan MA 63.

Pindaan yang dicadangkan adalah bertujuan mengembalikan status ‘rakan sekutu’ kepada Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tahun 1963 yang dipinda melalui Akta 26/1963 selepas pembentukan Malaysia.

Dalam pindaan itu jelas menyatakan bahawa pembentukan negara Malaysia diasaskan daripada komposisi tiga pihak iaitu negeri-negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu, negeri-negeri Borneo dan Singapura.

Namun, selepas dibahaskan 46 Anggota Parlimen, rang undang-undang itu tidak dapat diluluskan di Dewan Rakyat malam tadi kerana kerajaan gagal mendapat sokongan dua pertiga Anggota Parlimen untuk meminda Fasal 2 Perkara 1 Perlembagaan.

Seramai 138 daripada 221 wakil rakyat menyokong pindaan itu manakala 59 lagi berkecuali termasuk kalangan Anggota Parlimen Sabah dan Sarawak. Seramai 46 Ahli Parlimen membahaskan usul berkenaan.

Berikutan kekurangan 10 undi (148 undi diperlukan untuk meluluskan rang undang-undang itu), RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 tidak boleh diteruskan untuk bacaan kali ketiga.

Merealisasi manifesto

Teras keempat dalam manifesto PH yang terkandung dalam Buku Harapan menerangkan tentang komitmen untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak berteraskan MA63, yang dijelaskan melalui sembilan janji. Satu daripada janji itu adalah menubuhkan jawatankuasa khas kabinet yang menyemak dan melaksanakan MA63.

Antara fungsi jawatankuasa itu adalah membincangkan status MA63 dalam perundangan sekarang, meningkatkan kefahaman rakyat berkenaan MA 63 melalui sistem pendidikan kebangsaan dan pelaksanaan konsep federalisme untuk ketiga-tiga wilayah dalam Malaysia.

Isu hak Sabah dan Sarawak terhadap hasil semulajadi negara serta hasil minyak dan gas, perkara-perkara pentadbiran yang sewajarnya diturunkan untuk kuasa negeri dan jumlah peruntukan yang seharusnya menjadi hak Sabah dan Sarawak turut menjadi fokus jawatankuasa ini.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak Profesor Madya Dr. Jeniri Amir berkata pindaan itu merupakan langkah baik kerajaan dalam usaha memenuhi hasrat dan aspirasi asal penubuhan Malaysia pada 1963.

"Kita tidak boleh bermain politik. Ketepikan soal kepentingan politik kerana apa sahaja keputusan yang dibuat pada hari ini akan dinilai bukan sahaja oleh anak cucu kita tetapi juga generasi pada 50, 500 atau 1,000 tahun akan datang,”katanya.

Menurutnya segala keputusan yang dibuat bakal memberi kesan jangka panjang terutamanya dari aspek bagaimana Malaysia bakal melangkah ke hadapan sebagai sebuah negara bangsa.

Oleh itu, adalah penting agar aspek keharmonian hubungan antara Sabah, Sarawak dan kerajaan persekutuan serta kestabilan geopolitik dapat diambil kira di demi kebaikan semua pihak.

Sedih, terkilan

Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau pula melahirkan rasa "sangat sedih dan terkilan” berhubung kegagalan mendapat undi secukupnya untuk membolehkan rang undang-undang itu dipinda.

"Saya sangat sedih dan terkilan dengan apa yang berlaku di Dewan Rakyat semalam. Sedih kerana detik bersejarah untuk Malaysia terutama Sabah dan Sarawak tidak tercapai dan terkilan kerana ada Anggota Parlimen dari Sabah dan Sarawak yang tidak menyokong supaya semangat dan niat MA63 dimasukkan kembali ke Perlembagaan Persekutuan.

"Semalam itu adalah satu tragedi,”katanya kepada Bernama.

Namun, Madius yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berharap Jawatankuasa Pilihan Khas dalam kalangan Anggota Parlimen akan diwujudkan segera dan diwakili dalam Jawatankuasa Pemandu.

Beliau turut berharap agar Jawatankuasa Khas Kabinet (Pemandu) Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri akan bermesyuarat secepat mungkin.

Terus berusaha

Meskipun tidak berjaya pada pembentangan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 kali ini, kerajaan tetap komited untuk berusaha memenuhi janji bagi meletakkan Sabah dan Sarawak di tempat yang sepatutnya di dalam Perlembagaan negara.

Liew berkata beliau tidak akan berputus asa dan perjuangan rakyat akan tetap diteruskan walaupun sedih kerana kehilangan peluang keemasan untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak berdasarkan MA63.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula berkata kerajaan negeri Sabah akan berbincang dengan kerajaan negeri Sarawak bagi mendapatkan sokongan agar pindaan itu dapat direalisasikan pada masa akan datang.

"Kita akan terus berjuang untuk apa yang dipersetujui nenek moyang kita pada 1963,” katanya. -Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus