Isu TH: Ada laporan lain Mujahid tidak ambil kira

Abdul Azeez bercakap kepada pemberita pada sidang media di Parlimen, semalam. -Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Bekas Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mendakwa kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof kononnya pengurusan terdahulu telah mengisytiharkan hibah sejak 2014 dengan tidak mengikut Akta Tabung Haji 1995 sebagai tidak tepat.

Katanya, berdasarkan kepada kenyataan Mujahid, beliau hanya menyatakan tentang laporan kewangan daripada Price Waterhouse Coopers (PWC) Menurutnya, setiap tahun Jabatan Audit Negara telah mengaudit seluruh bentuk pelaburan malah, memperakukannya melalui sijil bersih.

"Semenangnya ada proses itu. Kami Lembaga Pengarah TH berpandukan laporan Jabatan Audit Negara. "Saya ingin tegaskan bahawa pengurusan TH terdahulu tidak melanggar akta berkenaan dan tidak melakukan apa-apa kesalahan seperti yang didakwa,” katanya dalam sidang media, di lobi Parlimen, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Azeez turut mempersoalkan tindakan Mujahid yang tidak mengambil kira laporan Ernst & Young (EY) dalam menilai nilai realis aset keseluruhan melibatkan anak syarikat, syarikat bersekutu, syarikat usahasama dan hartanah.

"Apa yang diambil kira hanya laporan kewangan semata-mata. Firma EY ini berwibawa sama seperti PWC.

"Pada 2015 firma berkenaan melaporkan nilai realis aset adalah RM64.7 bilion berbanding liabiliti termasuk bayaran hibah berjumlah RM63.3 bilion iaitu ada lebihan aset sebanyak RM1.4 bilion,” katanya.

Jelasnya, nilai aset realis pada tahun 2016 adalah sebanyak RM69.1 bilion manakala agregat liabiliti setelah mengambil kira hibah 2016 adalah sebanyak RM68.4 bilion maka terdapat lebihan aset ke atas liabiliti sebanyak RM701 juta.

"Bagi tahun 2017 pula, nilai aset realis adalah sebanyak RM74.7 bilion berbanding aggregat liabiliti termasuk bayaran hibah 2017 sebanyak RM74.4 bilion maka ada lebihan aset berbanding liabiliti sebanyak RM373 juta.

"Berdasarkan laporan kewangan PWC pada ogos 2017 yang diberikan kepada setiap Ahli Parlimen semalam juga ada terkandung laporan EY yang menunjukkan aset TH melebihi liabiliti untuk ketiga-tiga tahun (2015, 2016, 2017),” katanya.

Tambahnya, sejak 2015 TH telah menilai semua aset pada nilai pasaran semasa.

"Berdasarkan laporan yang disahkan oleh firma audit luar, nilai aset TH melebihi semua liabiliti. Untuk makluman, nilai realis aset adalah nilai pasaran semasa dan bukan nilai kos pelaburan asal.

"Maka Tabung Haji telah membayar hibah mengikut peruntukan Seksyen 22(3)(a) Akta Lembaga Tabung Haji 1995 dan tidak menyalahi sebarang undang-undang,” jelasnya.

Katanya lagi, penyata kewangan yang dibentangkan ke Parlimen setiap tahun belum mengambil kira kesemua aset pada nilai pasaran terkini kerana pelaburan dalam anak syarikat, syarikat usahasama, syarikat bersekutu dan hartanah masih dinyatakan pada nilai kos asal.

"Penilaian yang dinyatakan oleh Mujahid semalam berbeza daripada apa yang dibuat oleh TH, iaitu beliau tidak mengambil kira nilai pasaran terkini.

"Apa yang dibuat oleh TH terdahulu adalah tidak salah kerana penilaian tersebut disahkan oleh tetuan EY yang sangat profesional dan beretika. Selain EY, laporan dan kedudukan kewangan TH telah disemak oleh Jabatan Audit Negara. Menyentuh soal pasaran saham merudum teruk pada tahun 2018, Abdul Azeez berkata, ia bukan kerana kelemahan pengurusan terdahulu tetapi disebabkan faktor ekonomi luar dan dalam negara.