Kalau kaya, kenapa sembunyi-sembunyi? - Rafizi

Rafizi Ramli berucap ketika hadir bagi membantu calon PH Dr S Streram berkempen sempena PRK DUN N27 Rantau hari ini. -Foto Bernama
Rafizi Ramli berucap ketika hadir bagi membantu calon PH Dr S Streram berkempen sempena PRK DUN N27 Rantau hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mempersoalkan tindakan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan yang didakwa menyembunyikan tindakannya memindahkan wang RM10 juta bagi pembelian kediaman di London, United Kingdom.

Beliau berkata selepas timbul isu berkenaan, ramai pimpinan UMNO yang mempertahankan calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau itu dengan alasan "Tok Mat memang kaya” disebabkan beberapa jawatan korporat dipegangnya sebelum ini.

"Habis, kalau betul kaya, kenapa Tok Mat takut sangat orang tahu (pindah wang) sehingga menggunakan saluran yang melanggar undang-undang?," katanya ketika menyampaikan ucapan pada ceramah Pakatan Harapan sempena kempen PRK DUN Rantau, malam ini.

Beliau berkata terdapat dua kemungkinan sahaja membuatkan seseorang menggunakan kaedah pemindahan wang seperti didakwa dilakukan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu, sama ada wang dipindahkan melebihi had dibenarkan Bank Negara atau wang berkenaan bukan daripada sumbernya sendiri.

"Tok Mat bercita-cita menjadi Perdana Menteri Malaysia kerana yakin strategi memainkan isu perkauman oleh gabungan Pas-UMNO akan berjaya.

"Saya nasihatkan, jika Tok Mat mahu terus bercita-cita menjadi Perdana Menteri, lebih baik Tok Mat berterus-terang dan jujur dari sekarang mengenai sebab musabab beliau memindahkan wang RM10 juta itu pada 2007 secara sembunyi, sedangkan Tok Mat kan kaya?," soalnya. -Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Tok Mat perlu berterus terang: Rafizi

Artikel Berkaitan: