Permulaan kepada pemulihan Felda

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PEKAN - Warga Felda berharap pembentangan Kertas Putih Felda di Parlimen hari ini menjadi titik permulaan kepada pemulihan dan penunaian janji kerajaan untuk membela nasib peneroka.

Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan Mohd Sharim Md Zain berkata daripada intipati pembentangan, usaha pemulihan Felda akan diperbaharui dari segi menstruktur semula pengurusan Felda.

"Sudah pasti warga Felda menantikan langkah-langkah penyelesaian perumahan generasi baru, isu pendapatan dan pendahuluan hasil peneroka serta janji kerajaan untuk menghapuskan hutang peneroka.

"Dalam masa sama, sudah pasti kami berharap ada inisiatif dilakukan untuk memulihkan dan seterusnya meningkatkan harga pasaran sawit supaya pendapatan peneroka lebih stabil," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Mohd Sharim menambah pembentangan itu sedikit sebanyak dapat memberi rasa lega kepada peneroka bahawa masa depan mereka akan lebih cerah, jika pelan tersebut dilaksanakan sebaiknya.

Hari ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membentangkan Kertas Putih Felda bertajuk 'Ke arah Kelestarian Felda' di Parlimen yang mengemukakan usaha kerajan melaksanakan pemulihan jangka pendek, sederhana dan panjang.

Peneroka Felda Lepar Utara 2 Mokhsin Yassin, 56, berkata pengenalan Skim Pengurusan Aset Canggih (SPAC) menggantikan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil diharap mampu meringankan beban hutang peneroka, yang kebanyakannya sudah sedia dibelenggu masalah hutang.

"Kerajaan kata skim ini lebih fleksibel dan akan memberi bantuan pinjaman berdasarkan keperluan peneroka bagi mengelakkan kebergantungan kepada hutang yang tinggi dalam tempoh panjang.

Artikel Berkaitan:

"Namun begitu, pada masa sama peneroka masih berpegang pada janji kerajaan PH yang mahu menghapuskan hutang peneroka.

“Ramai peneroka masih mempunyai hutang di mana ada di antaranya bernilai puluhan ribu untuk menjaga dan memberi kesenangan kepada keluarga masing-masing.

"Kami berharap kerajaan mengotakan janji," katanya. - Bernama