Status 'orang luar' Dr Streram tidak jadi isu

Ali Ibrahim
Ali Ibrahim
A
A
A

SEREMBAN - Status calon PH PRK DUN Rantau, Dr S Streram yang dikata sebagai 'orang luar' tidak sepatutnya dijadikan isu kerana pakar bius itu sudah lama menabur bakti kepada penduduk DUN Rantau.

Penyelaras MPKK DUN Rantau, Ali Ibrahim, 80, atau lebih mesra sebagai Pak Ali berkata, tidak ramai yang tahu sisi murni Streram yang sebenarnya sangat prihatin terhadap masalah rakyat di kawasan itu.

"Sebelum PRU14 lagi beliau banyak tolong penduduk Rantau walaupun ketika itu tidak ada apa-apa jawatan rasmi dalam parti di DUN Rantau.

"Cuma tak ramai yang tahu apa ihsan Streram di sini(Rantau). Dengan Streram mudah, kalau saya beritahu ada orang susah, cepat saja dia mahu bantu,"katanya ketika ditemui di Kampung Sri Lalang di sini.

Pak Ali berkata, untuk berbakti kepada orang ramai tidak perlu dipersoal asal atau agamanya selagi segala-galanya ikhlas.

Oleh sebab itu, hatinya sedikit terkilan bila ada yang mempertikai Streram 'diangkat' sebagai calon kerana dia mengenali pakar bius itu secara dekat.

"Saya kenal Streram macam mana. Beliau orang baik dan saya yakin mampu menggantikan Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai ADUN Rantau.

"Apabila diminta untuk jadi pencadangnya pada hari penamaan calon, saya tidak teragak-agak untuk menerima," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pak Ali yang menyertai PKR sejak tahun 1996 berkata, pengundi DUN Rantau perlu memberi peluang kepada Streram jika mahukan perubahan.

Katanya, beliau yakin yang Streram boleh merampas DUN Rantau daripada BN kerana percubaan PKR meletakkan calon Melayu sebelum ini tidak berjaya.

"Berilah peluang pada Dr Streram. Kita boleh fikir sendiri kenapa beliau yang gajinya sudah berpuluh ribu tapi memilih untuk berbakti pada rakyat,"katanya.